AYUB (kiri) juara kategori Open Jamboree Remaja.
AYUB (kiri) juara kategori Open Jamboree Remaja.
Oleh Yusmawati Mhd Yusof


Jasin: Muhammad Ayub Mohd Radzi, 22, dari pasukan SBS Giant Racing Team tidak sangka mengungguli kategori disertainya buat kali kedua selepas kemenangan di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) Nibong Tebal, bulan lalu.

Juara kategori Remaja Jamboree Sirkit 3 itu melakar kemenangan kedua berturut-turut selepas mengungguli Sirkit 4 di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Saujana Asahan, Sabtu lalu.

Pelumba muda dari Gurun, Kedah itu berkata, dia tidak mensasarkan kejuaraan pada Sirkit 4 sebaliknya hanya mengutamakan kepuasan bersaing dalam setiap pertandingan.

“Menyertai pelbagai kejohanan secara konsisten termasuk yang terbaru di Sarawak, stamina saya bertambah baik malah kemahiran juga makin lebih pelbagai.

“Saya langsung tidak yakin muncul juara kerana tersesat di pertengahan perlumbaan sebelum mengejar pelumba di depan kira-kira 10 kilometer terakhir,” katanya.

Menurutnya, dia terkilan apabila kakaknya Masziyatun Mohd Radzi, 26, yang juga pelumba kebangsaan sekadar menduduki tempat ketiga kategori XC Race Wanita.

Ayub membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 manakala tempat kedua dan ketiga milik Mohd Aidil Taufik Afendi, 15, dari pasukan Exitway Mercury dan Hafiz Samsudin dengan masing-masing menerima RM1,200 dan RM1,000.

Sementara itu, Aidil berkata, walaupun dipintas Ayub pada saat akhir, dia langsung tidak patah semangat untuk menyertai kejohanan MTB selepas ini.

“Keadaan trek dengan laluan berbukit dan licin mencabar ketahanan pelumba, saya sedikit kecewa kerana dipintas pada 10km terakhir.

“Namun, kemenangan ini sedikit sebanyak mengubat kekecewaan kerana pada Sirkit 1 di Kuala Kangsar saya hanya menduduki tempat kelima,” katanya yang aktif berbasikal sejak berusia 13 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 6:56 AM