Oleh Zuhainy Zulkiffli

Nibong Tebal: Kejayaan pelumba muda dari Gurun, Kedah muncul juara Jamboree Junior di Sirkit 3 Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) Nibong Tebal, Sabtu lalu, cukup manis untuk menebus kekecewaan pertandingan lalu.

Muhamad Ayub Mohd Radzi, 22, yang mewakili SBS Racing Team berkata, pada mulanya dia tidak yakin dengan penyertaannya selepas tewas di Cabaran Mountain Bike Antarabangsa Langkawi (LIMBC) yang berlangsung di pulau peranginan itu pada 13 hingga 18 Oktober lalu.

Namun selepas mendapat galakan dan kata semangat daripada kakaknya, Masziyaton Mohd Radzi, 26, yang juga pelumba skuad negara, dia bertekad memberikan persembahan terbaik dan berkayuh dengan penuh fokus di Nibong Tebal.

"Saya dan kakak mewakili pasukan sama dan saya turut gembira apabila kakak meraih gelaran naib juara bagi XC Metro Race Wanita.

"Setiap kejohanan yang saya sertai sejak berusia 15 tahun bukan kerana ingin menang semata-mata, tetapi lebih kepada kepuasan diri," katanya yang sudah menyertai lebih 100 kejohanan.

Antara kejohanan antarabangsa disertainya termasuk Kejuaraan Asia di Korea Selatan pada 2010, namun tidak meraih sebarang hadiah berikutan masih baru dalam sukan itu.

Muhamad Ayub membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 manakala tempat kedua dan ketiga menjadi milik James Hoh, 23, dari pasukan E Bike dan wakil Ayah Bike Shop, Muhammad Anas Faizal Mohd Amair dengan masing-masing menerima RM1,200 dan RM1,000.

Sementara itu, juara XC Metro Race Junior Ma Chau Ying, 21, yang juga dari pasukan SBS Giant Racing Team berkata, dia puas hati dengan laluan perlumbaan kali ini kerana berpeluang menikmati keindahan alam yang unik.

Tukang masak sebuah restoran di Batu Pahat, Johor itu, berkata, kemampuannya benar-benar teruji di laluan berbukit kira-kira 10 kilometer dari garisan penamat.

"Laluan berbukit itu agak mencabar menyebabkan saya bersama peserta lain terpaksa menolak basikal masing-masing dan kami ketawa apabila melihat pelbagai ragam peserta ketika mendaki bukit berkenaan.

"Malah, saya sempat bertukar tips dengan peserta yang lebih berpengalaman berikutan saya baru dua tahun berkecimpung dalam sukan basikal bukit ini," katanya yang pertama kali beraksi di Pulau Pinang.

Tempat kedua kategori itu dimenangi Muhd Suhaimi Ghani dari Cyclomotion Team dan tempat ketiga dimenangi Mohd Zulhafiz Saipuddin dari XDS Factory.

Sirkit 4 Harian Metro MTB akan berlangsung di Asahan, Melaka pada 28 dan 29 November sebelum sirkit terakhir di Hulu Selangor, Selangor pada 27 dan 28 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 5:01 AM