PESERTA terpaksa harung anak sungai.
PESERTA terpaksa harung anak sungai.

Jasin: Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 di Asahan semalam, mendapat sambutan mengalakkan apabila disertai lebih 1,300 peserta dari dalam dan luar negara.

Sirkit keempat di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Saujana Asahan itu membabitkan dua kategori XC Race sejauh 45 kilometer (km) dan Terbuka Metro (40 km) dengan masing-masing empat kategori iaitu Remaja, Elit, Wanita dan Master.

Peserta dilepaskan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Pembangunan Sukan negeri Datuk Ng Choon Koon bersama Pengarang Kumpulan Harian Metro (HM) Datuk Mustapa Omar, Timbalannya yang juga Pengerusi MTB Abdul Ghafar Ismail; Pengarah Bahagian Pemasaran Domestik Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof; Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintenden Muhd Nur Hishamuddin Hashim dan Setiausaha Majlis Perbandaran Jasin Osman Latiff.

Kejohanan menyaksikan Mohamed Fauzan Ahmad Lutfi dari SBS Giant Racing Team mengungguli kategori Elite XC, Praset Chitmart dari Chiru Endurace Thailand (Master XC ), Supuksorn Nuntana dari Chiru Endurace Thailand (Wanita XC) dan Muhammad Suhaimi Ghani dari Cyclomotion (Remaja XC).

Manakala Mohd Zukri Tahir dari Polygon Malaysia memenangi kategori Terbuka Elit, Ma Wong Ee dari TK Batu Pahat (Master), Nur Fatin Afisya Hamzah dari Amaniz Cycling Team (Wanita) dan Muhammad Ayub Mohd Radzi dari SBS Giant Racing Team (Remaja).

Mustapa menyifatkan sambutan sirkit empat amat mengalakkan apabila disertai lebih 1,300 peserta yang mana lebih 20 daripadanya terdiri daripada peserta luar negara dari Thailand, Singapura, Australia, Scotland, New Zealand dan Turki.

“Kejohanan ini mempunyai potensi untuk dikembangkan di Melaka kerana sudah banyak kelab berbasikal diwujudkan di negeri ini malah kita juga mempunya lokasi lain untuk acara sukan berbasikal antaranya Tasik Chin Chin,” katanya.

Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM215,000 dengan disokong rakan penaja Verve, Power Bar, Deuter, Perskindol, Tesco, Honda sebagai kereta rasmi dan Isuzu (kenderaan 4x4 rasmi) serta rakan media TV9 dan Majalah Cycling Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:08 AM