epa05279153
epa05279153
Reuters

Manila: Presiden Filipina Benigno Aquino berikrar menggunakan sepenuhnya kemampuan yang ada untuk menghapuskan kumpulan Abu Sayyaf sebelum beliau melepaskan jawatan dalam masa dua bulan lagi.

"Kepada ASG (Abu Sayyaf Group) dan sesiapa saja yang mungkin membantu mereka, kamu memilih hanya satu bahasa iaitu paksaan dan kami akan menjawab hanya dengan bahasa itu.

“Kematian dijangka berlaku namun paling penting ialah menghapuskan aktiviti jenayah ASG,” katanya dalam kenyataan hari ini, selepas Abu Sayyaf memenggal kepala tebusan rakyat Kanada, John Ridsdel, 68, Isnin lalu.

Abu Sayyaf masih menahan 22 lagi tebusan, termasuk rakyat Belanda, Jepun, Indonesia dan empat rakyat Malaysia.

Filipina dikatakan sudah menggerakkan 2,000 tentera bagi memburu Abu Sayyaf di Sulu yang dianggarkan mempunyai lebih 400 militan namun bimbang ia akan membahayakan nyawa tebusan. Pasukan itu disokong helikopter UH-1 "Huey" dan helikopter MG520 dilengkapi roket serta artilleri

Ketika kemuncak krisis, pegawai kanan tentera di Sulu, Brigadier Jeneral Alan Arrojado meletak jawatan semalam kerana tidak bersependapat dengan cara kerajaan menangani Abu Sayyaf.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2016 @ 6:15 PM