Gambar yang dirakam semalam ini, menunjukkan anggota polis Filipina mengawal lokasi kepala tebusan rakyat Kanada ditinggalkan di bandar Jolo Isnin lalu. - Foto EPA
Gambar yang dirakam semalam ini, menunjukkan anggota polis Filipina mengawal lokasi kepala tebusan rakyat Kanada ditinggalkan di bandar Jolo Isnin lalu. - Foto EPA
AP

Manila: Pasukan forensik polis Filipina sedang memeriksa satu mayat tanpa kepala yang ditemui penduduk bagi menentukan ia berkemungkinan milik tebusan Kanada, John Ridsdel, yang dipenggal kepalanya oleh Abu Sayyaf Isnin lalu.

Mayat lelaki berkulit putih itu ditemui di satu kawasan lapan pergunungan dekat pekan Talipao di Sulu, tempat Abu Sayyaf memenggal mangsa yang kepalanya dibuang di bandar Jolo.

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, yang mengutuk keras pembunuhan kejam itu berkata, beliau sudah bercakap dengan Presiden Filipina Benigno Aquino mengenai kemungkinan tindakan terhadap Abu Sayyaf.

“Perbincangan dengan Presiden Aquino masih berlangsung untuk membawa penjenayah terbabit ke muka pengadilan. Kami akan melakukan apa yang boleh untuk membuktikan kerajaan mengutamakan keselamatan rakyat Kanada,” katanya yang menegaskan kerajaannya tidak akan membayar wang tebusan.

Abu Sayyaf masih menahan seorang lelaki Kanada, seorang lelaki Norway dan wanita Filipina selepas menculik mereka September tahun lalu. Kumpulan itu juga menahan beberapa lagi rakyat asing termasuk empat rakyat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2016 @ 6:12 PM