RUANG legar di dalam Scomadi Concept Store.
RUANG legar di dalam Scomadi Concept Store.
Fazurawati Che Lah


Scomadi Malaysia, pengedar motosikal skuter terus memperkukuhkan jenamanya apabila merancang bawa masuk dua lagi jenama skuter keluaran United Kingdom itu pada Oktober depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Scomadi Malaysia, Ronnie Chen berkata, dua jenama itu membabitkan model TL200 serta Caferacer dan sebagai permulaan, pihaknya akan membawa masuk sebanyak 500 unit model TL200 manakala 300 unit Caferacer.

Jelas Chen, Scomadi model TL125 terlebih dulu diperkenalkan pihaknya pada Jun tahun lalu dan terus mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat skuter.

“Bagi tahun ini, syarikat mensasarkan jualan sebanyak 3,000 Scomadi bagi ketiga-tiga model berkenaan. Bagi dua model terbaharu enjin berkapasiti 200 cc, harga ditawarkan bermula dengan RM16,000,” katanya ditemui pada majlis pembukaan kedai konsep Scomadi di Taman Sri Rampai, Setapak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Scomadi TL125 terjual lebih 1,000 unit sejak ia dipasarkan Jun tahun lalu. Ia hadir dengan tujuh varian warna iaitu merah, kelabu, hitam, biru laut, gabungan merah dengan biru laut dan hijau,” katanya.

Skuter Scomadi dipasang di kilang Motor Legend Enterprise Sdn Bhd (MLE) yang terletak di Tampoi, Johor Bahru.

Sementara itu, mengulas mengenai kedai konsep Scomadi, Ronnie berkata, pelbagai aksesori dan alat ganti tulen serta servis disediakan untuk pemilik skuter jenama itu.

Katanya, pihaknya bercadang menyediakan lebih banyak lagi pusat Scomadi di seluruh Malaysia menjelang tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2016 @ 5:01 AM