ISTERI Albuquerque, Eliane meratap kematian suaminya yang maut ketika bersenam di laluan basikal berkenaan.
ISTERI Albuquerque, Eliane meratap kematian suaminya yang maut ketika bersenam di laluan basikal berkenaan.
AP

Rio de Janeiro: Laluan berbasikal bertingkat yang diuar-uarkan sebagai projek utama Sukan Olimpik Brazil, runtuh semalam menyebabkan sekurang-kurangnya dua kematian.

Kemalangan di laluan berbasikal Tim Maia masalah terbaru dalam persediaan Brazil menjadi tuan rumah temasya sukan dunia yang berlangsung pada 5 hingga 21 Ogos itu.

Antara masalah lain yang timbul sebelum ini penyebaran wabak Zika, pergolakan politik yang mengancam Presiden Dilma Rousseff, penjualan tiket tidak memberangsangkan dan pemotongan bajet disebabkan krisis kemelesetan ekonomi paling teruk sejak puluhan tahun.

Setiausaha Perbandaran, Pedro Paulo Carvalho percaya ada mangsa ketiga yang belum ditemui selepas gegaran menyebabkan tebing berbatu runtuh, meranapkan hampir 50 meter kawasan laluan berbasikal dan membawa batuan jatuh ke dalam laut.

Jabatan bomba Rio mengesahkan hanya dua kematian manakala media tempatan berkata, dua yang lain berjaya diselamatkan.

Helikopter mengeluarkan dua mayat dari laut dan meletakkannya di pantai Sao Conrado.

Joao Ricardo Tinoco mengenal pasti salah seorang mangsa abang iparnya, Eduardo Marinho Albuquerque, 54, yang dipercayai berjoging ketika runtuhan berlaku.

Sementara itu, Carvalho berkata, masih terlalu awal untuk mengetahui punca kejadian dan menjelaskan siasatan dijalankan.

“Sudah tentu kemalangan seperti ini tidak boleh dimaafkan,” kata Carvalho kepada rangkaian televisyen Globo.

Seluruh laluan basikal sepanjang empat kilometer yang menyambungkan kawasan kejiranan pantai Sao Conrado dan Leblon, kini ditutup.

Dalam pada itu, Datuk Bandar Eduardo Paes yang berada di Greece untuk upacara penyalaan obor Olimpik, dalam satu kenyataan berkata, kemalangan itu tidak boleh dimaafkan dan menjelaskan dia akan kembali ke Rio secepat mungkin bagi mengikuti siasatan punca kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2016 @ 7:36 AM