SEBAHAGIAN ahli RESPA yang hadir pada sidang media di Kelab Golf Titiwangsa, semalam.
SEBAHAGIAN ahli RESPA yang hadir pada sidang media di Kelab Golf Titiwangsa, semalam.

Kuala Lumpur: Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar bertemu Jacel Kiram di Filipina November lalu.

Presidennya Datuk Mohd Ismail Che Rus berkata, tindakan Nurul Izzah bersama Ahli Parlimen Batu, Tian Chua bertemu Jacel Kiram itu disifatkan sebagai tidak sensitif.

“Tindakan mereka mengguris perasaan pelbagai pihak terutamanya keluarga anggota polis yang terkorban.

“Jacel Kiram adalah anak kepada Jamalul Kiram III yang bertanggungjawab ke atas tragedi pencerobohan Lahad Datu dan Semporna sehingga menyebabkan lapan anggota polis dibunuh kejam,” katanya, semalam.

Menurutnya, Nurul Izzah lebih mengutamakan kepentingan keluarganya apabila turut memaparkan gambar untuk membebaskan Anwar Ibrahim dalam pertemuan itu.

“Dia langsung tidak menjaga perasaan ahli keluarga serta seluruh rakyat Malaysia yang bersedih atas kejadian pencerobohan itu.

“Walaupun Nurul Izzah sudah menyatakan kekesalannya namun tindakannya itu tetap tidak boleh diterima serta dimaafkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2015 @ 5:57 AM