LELAKI itu menjadikan penumpang dalam bas berwarna biru sebagai tebusan. FOTO AFP
LELAKI itu menjadikan penumpang dalam bas berwarna biru sebagai tebusan. FOTO AFP
AFP

Rio de Janeiro: Lelaki bersenjata api berjaya dipujuk sebelum menyerah diri selepas dia menjadikan 16 penumpang bas di stesen bas utama di sini, sebagai tebusan selama tiga jam, selain mencederakan dua mangsa, pada Selasa.

Seorang mangsa, lelaki berusia 34 tahun, mengalami kecederaan serius selepas ditembak di dada dan perut, kata setiausaha kesihatan Rio de Janeiro, Daniel Soranz. Dia kini dirawat di hospital.

Satu lagi mangsa juga dimasukkan ke hospital, namun dia stabil dan mengalami kecederaan yang kurang teruk.

"Suspek berjaya dipujuk menyerah diri sebelum ditangkap. Semua tebusan dibebaskan dan mereka selamat," Kolonel Marco Andrade dari polis tentera mengumumkan perkara itu kira-kira tiga jam selepas krisis berkenaan.

Terdahulu, adegan panik susulan bunyi tembakan pada sebelah petang di stesen Novo Rio. Ia stesen bas untuk menuju ke semua wilayah di Brazil dan digunakan kira-kira 38,000 orang setiap hari.

Saksi berkata, seorang lelaki melepaskan tembakan sebelum menaiki bas yang mana dia menjadikan 16 penumpang sebagai tebusan termasuk seorang kanak-kanak dan enam orang tua.

Sebelum itu, polis berkata, ada 17 tebusan.

Suspek menyerah diri selepas ejen dari Batalion Gerakan Khas elit dikerahkan ke tempat kejadian untuk menjalankan rundingan, menurut polis.

ORANG ramai menunggu untuk memasuki bangunan terminal bas selepas krisis tebusan itu berakhir. FOTO AFP
ORANG ramai menunggu untuk memasuki bangunan terminal bas selepas krisis tebusan itu berakhir. FOTO AFP

Pegawai polis juga mengepung lokasi selepas memindahkan semua pekerja dan orang ramai yang berkerumun di terminal bas itu dan pada masa sama, memujuk lelaki bersenjata berkenaan.

Imej disiarkan oleh saluran berita Globo menunjukkan polis mengiringi seorang lelaki berbaju-T merah jambu berwarna-warni, seluar pendek Bermuda hijau dan rambut pendek, ke arah van polis.

Selepas itu, penumpang mula keluar dari bas, termasuk seorang wanita muda dengan bayi dalam pelukannya.

Setiausaha Polis Tentera Rio, Kolonel Luiz Henrique Marinho Pires berkata, identiti tebusan tidak didedahkan.

"Nampaknya suspek cuba 'melarikan diri' dari bandar kerana 'masalah dalam puaknya' (merujuk kepada geng penjenayah).

"Pada satu ketika dia berasa terancam oleh seseorang atau kumpulan di dalam bas, dan ketika itulah dia melepaskan tembakan," kata Marinho kepada TV Globo.

Di rangkaian sosial X, Gabenor Rio de Janeiro, Claudio Castro memuji tindakan polis dalam menyelesaikan segera kejadian jenayah dramatik itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2024 @ 10:48 AM