Lembu ternakan meragut rumput di kawasan Empangan Timah Tasoh yang kering akibat cuaca panas berikutan fenomena El Nino. FOTO Eizairi Shamsudin
Lembu ternakan meragut rumput di kawasan Empangan Timah Tasoh yang kering akibat cuaca panas berikutan fenomena El Nino. FOTO Eizairi Shamsudin
Aizat Sharif

Kangar: Perlis akan catu air empat hari lagi di Padang Besar, Chuping, Titi Tinggi dan Wang Kelian jika paras air di Empangan Timah Tasoh terus berkurangan.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man berkata, berdasarkan paras air semasa di empangan itu iaitu 26.29 meter (m), ia kini sudah melepasi paras kritikal iaitu 26.5 m dan bagi mengatasi masalah itu, kerajaan negeri Perlis sudah memohon kepada Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) untuk melakukan operasi pembenihan awan.

"Setiap hari paras air di empangan itu akan berkurangan sebanyak 0.02 m dan jika usaha pembenihan awan ini gagal menghasilkan hujan yang diharapkan bagi meningkatkan paras air empangan, kita terpaksa melaksanakan catuan air dalam empat hari lagi" katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Pertama, Penggal Persidangan Keempat, Majlis Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Yang Ke-13 di Kompleks DUN, di sini, tengah hari tadi.

Menurutnya, operasi pembenihan awan yang dilakukan secara berterusan pada hari ini sehingga 18 April hadapan akan memfokuskan kepada empat negeri di utara termasuk Perlis.

"Pembenihan awan akan dilakukan sekitar utara kawasan tadahan Empangan Timah Tasoh terutama di Wang Kelian di mana sumber air empangan itu diperoleh dari kawasan berkenaan," katanya lagi.

Operasi pembenihan awan di Perlis terpaksa dilaksanakan berikutan paras air di Empangan Timah Tasoh di negeri itu yang semakin susut setiap hari.

Catuan air dijangka berlaku di kawasan utara Perlis sahaja membabitkan kawasan di Padang Besar, Chuping, Titi Tinggi dan Wang Kelian manakala kebanyakan sumber air di kawasan selatan Perlis seperti Kangar dan Arau dan Simpang Empat adalah dari Empangan Pedu di Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2016 @ 3:27 PM