Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Apakah wujud peraturan baharu membenarkan pemain melakukan terjahan keras dari belakang.

Itu yang dipersoalkan ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Mario Gomez (gambar) selepas agak pelik dengan kegagalan pengadil S Sittharanjanan tidak mengenakan tindakan terhadap pemain Kedah yang mengasari pemainnya pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman, kelmarin.

Beliau yang menerima kekalahan 1-2 kepada Kedah bagaimanapun tidak menganggap pengadil menjadi punca skuad bimbingannya tewas namun apa yang menjadi persoalan adalah tiada sebarang layangan kad sama ada kad kuning atau merah selepas pemain Johor DT dibentes dari belakang.

“Sudah jelas lagi nyata dalam peraturan yang ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), pemain tidak dibenarkan melakukan terjahan atau bentesan dari belakang dan jika ia berlaku maka kad merah akan dikenakan terhadap pemain yang melakukan kekasaran.

“Tapi, lain pula yang berlaku pada perlawanan separuh akhir pertama apabila pengadil seolah-olah menetapkan peraturan baharu dengan membenarkan terjahan atau bentesan dari belakang dan saya ingin kepastian mengenai situasi itu.

“Saya kurang pasti sama ada pengadil pada aksi itu memahami peraturan yang ditetapkan badan induk bola sepak dunia, malah anda sendiri melihat apa yang berlaku dan anda sendiri menilai kerana saya tidak boleh memberi komen lebih lanjut,” katanya.

Gomez juga menegaskan sepatutnya pemain Kedah dilayangkan kad merah selepas mengasari Hariss Harun hingga pemain itu mengalami kecederaan di bahagian dagu, namun tiada sebarang tindakan malah kekasaran juga berlaku terhadap Jorge Pereyra Diaz dan ia seolah-olah tidak dilihat pengadil perlawanan.

Apapun, beliau menganggap kekalahan yang dialami itu tidak mematahkan semangat anak didiknya sebaliknya ia akan memberi lebih kekuatan untuk memperbaiki kesilapan malah optimis mampu bangkit pada separuh akhir kedua di Stadium Larkin, 30 April ini.

“Saya keliru dengan mutu pengadilan dan tidak boleh komen lebih lanjut malah kami ada 90 minit perlawanan lagi. Kami terpaksa mengharungi 16 perlawanan dalam tempoh sebulan dan ia menjejaskan rentak permainan.

“Bagaimanapun, saya tidak menyalahkan mana-mana pemain malah kekalahan yang kami alami bukan bererti perjuangan terhenti sebaliknya ia memberi lebih kekuatan untuk meningkatkan lagi kualiti permainan,” kata Gomez.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2016 @ 8:56 AM