Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Pemilik Kelab JDT.
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Pemilik Kelab JDT.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Sudah tiba masanya untuk guna VAR (Video Bantuan Pengadil)".

Itu desakan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengakui sudah tiba masanya untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) menggunakan VAR selepas prestasi buruk yang dipamerkan pengadil tempatan sepanjang musim ini.

Kemuncak rasa ketidakpuasan hati sudah tentunya ketika aksi separuh akhir pertama antara Terengganu FC dan JDT di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam tadi menyaksikan beberapa insiden kekasaran tidak dilayangkan sebarang kad amaran oleh pengadil perlawanan.

Biarpun kekasaran jelas dilakukan pemain JDT sendiri, namun Tunku Ismail mengakui tidak puas hati dengan mutu pengadilan yang disifatkannya cukup teruk.

Kenyataan di media sosial TMJ.
Kenyataan di media sosial TMJ.

"Ref (pengadil) teruk. Bukan 'game' ini sahaja. 'Majority games' setiap tahun," katanya di laman sosial selepas JDT diikat Terengganu dalam aksi separuh akhir pertama saingan Piala Malaysia itu.

Malah, beliau turut menyenaraikan beberapa aksi lain yang perlu diadili semula dan ia perlu dipandang serius oleh FAM.

"Sabah lawan Terengganu, JDT lawan Kelantan, Negeri Sembilan lawan Sarawak dan lain-lain. Setiap tahun benda yang sama. Kami perlu 'improvement' dan FAM mesti ambil tindakan," katanya.

Pada aksi di Gong Badak yang berkesudahan seri 1-1 itu, sekurang-kurangnya tiga pemain JDT boleh dilayangkan kad kuning atau kad merah selepas dengan terang menyerang dan mengasari pemain Terengganu dalam aksi itu.

Ia babitkan tindakan tonggak pertahanan Harimau Selatan, Shane Lowry yang 'mencekak' baju Jordan Mintah ketika pergelutan di dalam kotak penalti yang berlaku di depan pengadil serta Natxo Insa yang melakukan hadangan keras terhadap pemain tuan rumah.

Malah, tindakan mempertikaikan keputusan pengadil oleh Gonzalo Cabrera sebenarnya turut berisiko untuk dihadiahkan kad, namun kesemua insiden berkenaan sebaliknya hanya diberi teguran oleh pengadil.

Lantas situasi itu mencetuskan rasa kemarahan penyokong yang mendakwa pengadil seolah-olah takut atau bimbang untuk melayangkan sebarang kad terhadap pemain JDT yang dibayangi Tunku Ismail.

Namun begitu, dengan teguran dan desakan daripada pemilik skuad Harimau Selatan itu agar VAR digunakan, ia nyata turut tidak disenangi Tunku Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 12:22 PM