Baddrol Bakhtiar
Baddrol Bakhtiar
Ahmad Saufi Mansor dan Syahid Sokri

Alor Setar: Pertemuan menentang Johor Darul Ta’zim (Johor DT) pada separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darulaman malam ini diibaratkan misi hidup mati Kedah dengan tuan rumah memerlukan bekalan selesa apabila bertanding ke tempat lawan hujung bulan ini nanti.

Menyedari hakikat itu, skuad Helang Merah perlu beraksi menerusi corak taktikal yang direncana Tan Cheng Hoe tanpa mudah hilang fokus kerana Johor DT bukan calang-calang pasukan.

Pemain tengah yang juga arkitek Kedah Baddrol Bakhtiar (gambar) berkata, dia amat berharap rakan sepasukannya mampu memberi aksi terbaik dalam misi memburu gol di hadapan penyokong sendiri, sekali gus sebagai bekalan apabila bermain di tempat lawan selepas ini.

Menurutnya, pada masa sama barisan Kedah juga tidak boleh terlalu bergantung kepada penyerang untuk merobek gawang lawan sebaliknya pemain lain perlu bersama-sama mencari ruang untuk mencipta gol kerana Carlos Kahe dijangka bakal dirantai.

“Pemain lain juga perlu mencari peluang untuk menjaringkan gol dengan tidak hanya bergantung kepada pemain hadapan. Paling penting menyumbangkan mata untuk pasukan sekali gus berjaya memenangi perlawanan di tempat sendiri dengan bekalan selesa.

“Saya yakin rakan sepasukan akan memberikan komitmen dan fokus lebih 100 peratus ketika menentang Johor DT kerana kami mahu menang,” katanya ketika ditemui, di sini.

Menurutnya, selaku pemain berpengalaman dalam skuad Helang Merah, dia dan rakan sepasukan sedar dengan kehebatan Johor DT kerana skuad itu mempunyai ramai bintang, tetapi skuad kendalian Mario Gomez itu turut mempunyai kelemahan di mana mereka mungkin melakukan kesilapan jika tuan rumah kerap mengasak.

“Jika keadaan (kesilapan) itu berlaku maka kita berpeluang untuk mencuri mata. Saya pasti sehebat mana pun pasukan berkenaan mereka pasti akan membuat kesilapan di gelanggang lawan. Tidak mustahil mereka gemuruh di tempat lawan kerana limpahan penyokong Hijau Kuning pasti menghasilkan suasana menggerunkan.

“Oleh itu, kita akan sedaya upaya melakukan serangan demi serangan dengan mengasak kubu lawan selain gandingan mantap pemain tengah seperti Sandro Da Silva dan Liridon Krasniqi untuk mengkucar-kacirkan pertahanan mereka.

“Motivasi terbaik sudah diberikan ketua jurulatih untuk dijadikan azimat. Jiwa kami seiring dengan jiwa penyokong apabila mahu memberi aksi terbaik bagi mencapai kemenangan dengan janji tidak mahu penyokong pulang dalam keadaan kecewa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2016 @ 5:08 AM