SEPANG 01 MARCH 2016. (FOR ARCHIVE) Plane in klia2. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
SEPANG 01 MARCH 2016. (FOR ARCHIVE) Plane in klia2. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Bayaran bagi caj pengendalian penerbangan udara (ANFC) yang dilaksanakan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) terhadap syarikat penerbangan akan dibuat secara berperingkat dengan peningkatan maksimum satu kali ganda.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, ia adalah hasil keputusan menerusi pertemuan antara DCA dan syarikat penerbangan baru-baru ini.

Menurutnya, ANFC tidak pernah dikaji semula lebih 40 tahun malah, caj lain seperti Sijil Pengendali Udara dan Sijil Layak Terbang tidak disemak sejak 1996.

"Segala kos serta banyak lagi terus disubsidikan oleh kerajaan dan ini tidak boleh diteruskan serta memerlukan semakan berhubung bayarannya.

"Perbincangan bersama pihak berkepentingan industri akan diteruskan diketuai oleh DCA bagi memastikan maklum balas yang baik serta memberi manfaat kepada ekosistem penerbangan negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah DCA, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman dilaporkan berkata, cadangan kenaikan kadar baharu caj dan yuran penerbangan adalah selaras dengan keperluan semasa serta memastikan perkhidmatan pengangkutan udara lebih cekap dan selamat serta terus berada pada tahap lebih cemerlang.

Menerusi cadangan itu, ANFC akan dinaikkan daripada lima sen setiap batu nautika kepada 50 sen untuk pesawat ringan tidak lebih 2,500 kilogram.

Untuk pesawat lebih besar seperti Airbus A320/A330 dan Boeing B737/B777, kos itu akan meningkat kepada RM1 hingga RM2.50 setiap batu nautika berbanding 10 hingg 25 sen sekarang, manakala bagi pesawat melebihi 135,000 kilogram, kadar itu akan naik daripada 30 sen kepada RM3 setiap batu nautika.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2016 @ 8:42 PM