Suspek ditahan polis ketika melarikan diri.
Suspek ditahan polis ketika melarikan diri.
Junaidi Ladjana

Kota Kinabalu: Dua anggota polis cedera selepas bergelut dengan seorang lelaki kerana memiliki syabu dalam kejadian di Jalan Sulaman, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian 9.40 malam itu, dua anggota berkenaan Lans Koperal dan Konstabel masing-masing cedera di lutut dan terseliuh di pergelangan kedua-dua tangannya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, suspek berusia 23 tahun memecut motosikalnya selepas diarah untuk berhenti bagi tujuan pemeriksaan.

"Suspek memecut motosikal dengan melawan arus jalan lalu terbabas dan anggota polis kemudian menahan sebelum berlaku pergelutan.

"Ketika pergelutan, dua anggota cedera di pergelangan tangan kanan dan kiri, seorang lagi anggota mengalami bengkak di lutut namun suspek berjaya diberkas dengan bantuan orang awam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas suspek, polis menemui satu paket plastik lutsinar berisi ketulan jernih yang disyaki dadah jenis syabu seberat 0.15 gram

"Tangkapan dan rampasan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2016 @ 5:59 PM