GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Walaupun sudah lima das tembakan dilepaskan, sekumpulan empat penjenayah tetap berdegil dan memecut kereta dinaiki mereka ketika cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan polis di Pasar Awam Tikam Batu, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, empat penjenayah yang menaiki Proton Wira berwarna kelabu pada mulanya dilihat dalam keadaan mencurigakan oleh anggota polis yang melakukan snap check di Jalan Permatang Merbau.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda Superintendan Anuar Abd Rahman berkata, pemandu Proton Wira terbabit tidak memberhentikan kereta ketika diarahkan anggota polis dan terus memecut menghala ke pasar awam berhampiran.

Menurutnya, suasana di pasar terbabit agak sibuk ketika itu dan suspek terpaksa berhenti akibat kesesakan jalan.

"Anggota polis cuba menghampiri dan merampas kunci kereta namun berlaku pergelutan.

"Pergelutan menyebabkan seorang daripada anggota polis berkenaan mengalami luka di siku," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, polis turut melepaskan lima das tembakan bagi menghalang suspek daripada melarikan diri namun mereka tetap memecut kenderaan.

"Setakat ini, kita masih mengesan semua suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya.

Difahamkan, dalam keadaan kelam-kabut untuk meloloskan diri itu suspek turut merempuh beberapa kenderaan awam di kawasan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2022 @ 7:59 PM