Dadah dan telefon bimbit suspek yang dirampas polis.
Dadah dan telefon bimbit suspek yang dirampas polis.
Shamsul Munir Safini


Bukit Mertajam: Dua lelaki berusia 25 dan 56 tahun ditahan polis bersama syabu seberat 26 gram (g) dan heroin 60.78 g di Cherok Tokun, di sini, semalam.

Dalam kejadian 2.45 petang, dua lelaki berkenaan menunggang motosikal di Jalan Kampung Telok dan dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pihaknya kemudian menahan suspek untuk diperiksa namun mereka melarikan diri dengan memecut motosikal.

Beliau berkata, pihaknya kemudian mengejar suspek sebelum mereka berjaya ditahan selepas berlaku sedikit pergelutan.

Katanya, hasil pemeriksaan, pihaknya menemui dua paket plastik lutsinar yang mengandungi dadah jenis syabu anggaran berat 26 g pada suspek pertama.

"Pemeriksaan pada suspek kedua menjumpai dua paket plastik lutsinar yang mengandungi dadah jenis heroin dengan anggaran berat 60.78 g," katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah untuk siasatan lanjut.

Nik Ros Azhan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2016 @ 11:01 AM