PERODUA Myvi mendapat sambutan   baik  di Singapura.
PERODUA Myvi mendapat sambutan baik di Singapura.
Nabil Basaruddin


PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) secara rasminya melancarkan Perodua Myvi generasi ketiga di Singapura pada minggu lalu yang didatangkan dengan dua varian.

Model Myvi itu ditawarkan dengan dua varian iaitu 1.3X AT dan 1.5H AT masing-masing pada harga SG$64,800 (RM197,093) dan SG$69,800 (RM212,301) termasuk cukai barang dan perkhidmatan serta sijil kelayakan (COE).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, kemasukan Myvi generasi ke Singapura adalah penting bagi jenama pengeluar kereta itu meskipun berdepan dengan pelbagai halangan untuk menembusi pasaran matang itu.

“Pencapaian ini juga menandakan destinasi eksport pertama bagi model ini di bawah jenama Perodua.

“Walaupun Perodua sudah mula mengeksport Myvi generasi ketiga ke Indonesia, namun model itu menggunakan jenama Daihatsu dan dinamakan sebagai Sirion,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Majlis pelancaran yang diadakan pada Sabtu lepas di pusat jualan dan servis Perocom Auto Pte Ltd di Ubi, dihadiri 250 pelanggan.

Perocom Auto adalah pengedar tunggal sah Perodua di Singapura sejak 1997 yang menjual model Kancil, Kembara, Kelisa, Myvi generasi pertama, Viva, Axia dan Bezza di negara itu.

Berdasarkan statistik Lembaga Pengangkutan Darat (LTA) di negara itu, bilangan kenderaan baru didaftarkan di Singapura berbeza dari tahun ke tahun, iaitu 80,281 unit pada 2018, 91,922 unit (2017), 87,504 (2016) dan 57,589 unit (2015).

Walaupun kecil, pasaran automotif Singapura adalah antara yang paling dikawal selia di rantau ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Perocom Auto, John Ng berkata, Perodua Myvi mendapat sambutan sangat baik oleh rakyat Malaysia dan di Singapura turut terdapat sekumpulan peminat setia menantikan ketibaan model generasi ketiga itu.

Perodua Myvi generasi ketiga adalah model paling canggih dikeluarkan oleh Perodua menawarkan kualiti tinggi, teknologi dan kecekapan bahan api dalam sebuah pakej yang kompak serta bergaya.

Lebih 110,000 unit Perodua Myvi generasi ketiga telah menemui pemiliknya di Malaysia setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 8:22 AM