Pegawai jabatan kesihatan memberi penerangan kepada pekerja kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Tiong, Kota Bharu, yang 29 murid sekolah itu keracunan makanan semalam. - Foto FARIS ZAINULDIN.
Pegawai jabatan kesihatan memberi penerangan kepada pekerja kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Tiong, Kota Bharu, yang 29 murid sekolah itu keracunan makanan semalam. - Foto FARIS ZAINULDIN.
BERNAMA

Kota Bharu: Seramai 29 murid Sekolah Kebangsaan Tiong di sini, keracunan makanan selepas dipercayai makan di kantin sekolah itu semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Jaafar Ismail berkata mereka dihantar untuk menerima rawatan di Klinik Kesihatan Wakaf Che Yeh.

Beliau berkata murid tahun lima dan enam mendakwa memakan lauk ayam pedas di kantin sekolah ketika rehat.

"Murid yang memakan lauk itu mengadu berasa loya sebelum muntah-muntah dan sakit perut. Mereka dihantar ke klinik berdekatan dan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.

"Jabatan tidak teragak-agak untuk menamatkan kontrak pengusaha kantin terbabit jika laporan Jabatan Kesihatan membuktikan kecuaian pengusaha kantin," katanya ketika melawat sekolah itu hari ini.

Jaafar berkata, kantin sekolah ditutup dua minggu untuk siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2016 @ 7:11 PM