Sekolah Kebangsaan Behor Mali, Kangar lokasi cecair raksa tumpah. (Gambar kecil) Operasi anggota Hazmat membersihkan tumpahan raksa dalam kes berasingan.
Sekolah Kebangsaan Behor Mali, Kangar lokasi cecair raksa tumpah. (Gambar kecil) Operasi anggota Hazmat membersihkan tumpahan raksa dalam kes berasingan.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


EMPAT murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Behor Mali, Kangar dikejarkan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) selepas mengadu sakit kepala dan muntah sementara lapan lagi menerima rawatan di Klinik Kesihatan Simpang Empat selepas berlaku tumpahan cecair logam raksa di makmal sains sekolah hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Ketua Penguji Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis, Muhammad Firdaus Yusop berkata, pihaknya mendapat panggilan pada jam 12.56 tengah hari sebelum bergegas ke sana.

“Pihak bomba dengan kekuatan anggota seramai empat orang tiba di sekolah berkenaan pada jam 1.49 tengah hari dan mendapati terdapat tumpahan cecair logam raksa di atas meja makmal sains sekolah berkenaan.

"12 murid berkenaan mengadu sakit kepala sejurus terhidu cecair logam berkenaan menyebabkan pihak sekolah menghubungi ambulans dari klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Menurut Muhammad Firdaus, pihaknya berjaya mengawal keadaan kira-kira satu jam kemudian.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Perlis, Dr Zaini Hussin ketika dihubungi mengesahkan bahawa empat murid dari sekolah berkenaan menerima rawatan susulan di HTF.

"Empat murid berkenaan setakat ini masih mendapatkan rawatan di HTF dan dalam keadaan stabil meskipun mereka mengadu muntah-muntah selepas terhidu cecair merkuri berkenaan.

"Sekiranya didapati empat pelajar berkenaan tidak menghadapi sebarang komplikasi, mereka dibenarkan pulang hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2017 @ 7:51 PM