PENGARAH Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Jaafar Ismail, (tengah) merasmikan Anugerah Pembestarian Sekolah 2017 di Dewan Besar Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri ( BTPN), PengkalanChepa. FOTO Fathil Asri
PENGARAH Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Jaafar Ismail, (tengah) merasmikan Anugerah Pembestarian Sekolah 2017 di Dewan Besar Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri ( BTPN), PengkalanChepa. FOTO Fathil Asri
Rosliza Mohamed


WAJIB memanfaatkan sepenuhnya penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dalam Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) bagi membestarikan sekolah di Kelantan.

Itu amanat terakhir disampaikan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Jaafar Ismail, kepada semua warga pendidik di negeri itu sebelum bersara, Rabu ini.

Beliau berkata, PdPc penting bagi murid dan pelajar untuk meningkatkan kemahiran digital sejajar perkembangan global.

"Secara keseluruhannya, 593 sekolah sudah dibekalkan kemudahan ICT secara berperingkat, sejak 1997," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Pembestarian Sekolah 2017 di Bahagian Teknologi Pendidikan Kelantan, Pengkalan Chepa, hari ini.

Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan Kelantan, Nasir Mohd Nor.

Jaafar berharap semua warga pendidik di Kelantan akan lebih maju dan berkemahiran dalam ICT untuk mencapai tahap pendidikan berkualiti.

"Untuk menjayakan hasrat ini kita perlu kerjasama dan komitmen pentadbir sekolah serta guru supaya dapat bergerak secara berpasukan.

"Saya juga berharap anda semua (warga pendidik) tidak mudah berputus asa dalam memikul tanggungjawab masing-masing," katanya.

Jaafar mengakhiri perkhidmatannya sebagai Pengarah, Rabu ini dan sudah berkhidmat selama 36 tahun iaitu 16 tahun di Jabatan Pendidikan Kelantan dan 20 tahun lagi di sekolah dan institut pengajian tinggi.

Terdahulu, beliau menyampaikan beberapa anugerah kepada penerima dengan anugerah utama - Anugerah Khas Ketua Penolong Pengarah (KPP) diberikan kepada Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan Kelantan, ZulkiflI Zakaria.

Bagi Anugerah Pendidikan diterima Pusat Kegiatan Guru Tapang, manakala Anugerah Pembestarian Sekolah Rendah diberi kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Berangan, Pasir Puteh dan Anugerah Pembestarian Sekolah Menengah (Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 9:36 PM