Ada 67 lombong pasir masih aktif di Selangor sekarang yang  memberi pendapatan RM103.1 juta sejak 2008. - Foto Fail
Ada 67 lombong pasir masih aktif di Selangor sekarang yang memberi pendapatan RM103.1 juta sejak 2008. - Foto Fail
BERNAMA

Shah Alam: Kerajaan Selangor membenarkan pemilik tanah persendirian melebihi lapan hektar menjalankan aktiviti perlombongan pasir di negeri itu, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata langkah itu adalah inisiatif terbaru kerajaan negeri dan setakat ini, pihaknya menerima dua permohonan daripada pemilik tanah persendirian untuk menjalankan aktiviti perlombongan itu.

"Sebelum ini, permohonan permit untuk aktiviti itu mesti melalui KSSB (Kumpulan Semesta Sdn Bhd).

"Selepas ini, permohonan permit (oleh pemilik tanah persendirian) boleh dibuat melalui pejabat tanah dan daerah," katanya menjawab soalan DatukAmiruddin Setro (BN-Jeram) mengenai industri pasir termasuk bilangan lombong yang masih aktif selain usaha kerajaan negeri mengekang kes kecurian pasir di Selangor.

Mohamed Azmin (PKR-Bukit Antarabangsa) berkata sehingga kini, ada 67 lombong pasir masih aktif iaitu 25 di Kuala Selangor, masing-masing 10 lombong di Hulu Selangor dan Sepang, Hulu Langat (lapan), Kuala Langat (lima), Gombak (tujuh) dan Petaling (dua).

Beliau berkata lima syarikat berlesen dibenar menjalankan operasi pengeluaran pasir di Selangor manakala satu syarikat dibenar menjalankan aktiviti perlombongan pasir iaitu KSSB.

Jumlah pendapatan kerajaan negeri berkaitan industri pasir di Selangor dari 2008 hingga 2015 ialah RM103.1 juta dengan jumlah kutipan royalti pasir meningkat daripada RM7.1 juta pada 2008 kepada RM24 juta pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2016 @ 8:22 PM