KEADAAN lombong yang menakung air apabila hujan menjadi pesta kepada kanak-kanak.
KEADAAN lombong yang menakung air apabila hujan menjadi pesta kepada kanak-kanak.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Kuantan: Bekas lombong bauksit bersaiz sebesar padang bola sepak dikesan wujud di kawasan perumahan Taman Mutiara Perdana, di sini, yang menjadi igauan buruk penduduk apabila tiba musim tengkujuh disebabkan kolam itu mampu menakung air melebihi kedalaman dua meter.

Malah, ia menjadi tapak ‘pesta air’ kepada kanak-kanak yang tinggal berhampiran taman perumahan itu untuk mandi-manda apabila hujan lebat.

Ahli Jawatankuasa Keselamatan Taman Mutiara Perdana Md Faiza Riza Yusoff, 44, berkata kewujudan lombong itu dikesan sejak 2014 apabila ada pemaju yang dikatakan ingin membangunkan kawasan berkenaan sebagai kawasan perumahan.

Katanya, bagaimanapun projek perumahan itu tidak dibangunkan sebaliknya aktiviti perlombongan bauksit yang wujud.

“Apabila berlaku banjir besar pada 2014, kanak-kanak menggunakan kawasan lombong ini sebagai tempat mandi-manda.

“Kami bimbang jika tidak ditimbus segera, kanak-kanak akan menjadikan lombong ini kolam renang apabila tiba musim hujan,” katanya ketika ditemui Harian Metro, di sini, semalam.

Md Faiza Riza yang menetap di taman perumahan itu sejak 13 tahun lalu memaklumkan, banjir baru-baru ini menyebabkan kawasan lombong berkenaan dinaiki air sehingga satu meter dan turut menjadi tumpuan kanak-kanak bermain di kawasan terbabit.

Dia difahamkan kawasan bekas lombong itu milik persendirian dan menjadi kesulitan bagi penduduk taman perumahan berkenaan mendesak kerajaan negeri untuk campur tangan.

Berdasarkan tinjauan dilakukan Harian Metro semalam, bekas lombong itu terletak kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian yang mengorbankan tiga kanak-kanak di kolam lombong bauksit di Taman Sungai Karang Jaya, di sini, pada 4 Februari lalu.

Dalam kejadian itu, dua beradik Sasabella Zulhairi, 12, dan adiknya Mahathir Mohamad, 7, serta rakan mereka Nureen Ain Juwita Mohd Sharif, 10, ditemui lemas selepas dikatakan bermain di kawasan bekas lombong itu.

Md Faiza Riza berkata, penduduk berharap semua pihak termasuk pemilik tanah dan kerajaan negeri mencari jalan penyelesaian segera kerana penduduk taman perumahan itu tidak mahu ada lagi korban akibat bekas lombong bauksit yang dibiarkan tanpa sebarang tindakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2017 @ 11:13 AM