Iskandar Shah Mohamed


BEKALAN air di semua kawasan yang terjejas di ibu negara dan Selangor akibat pencemaran minyak diesel dijangka pulih bermula Rabu hingga Sabtu ini.

Ia membabitkan 1,191,942 pemegang akaun di 1,222 kawasan yang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan pencemaran terbaharu dari sumber air mentah Sungai Selangor.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor)

Abdul Raof Ahmad berkata, empat Loji Rawatan Air (LRA) yang dihenti tugas semalam kembali beroperasi awal pagi hari ini.

“Proses meningkatkan paras kolam dan menstabilkan tekanan sistem utama sedang dijalankan dan kami mensasarkan pemulihan bekalan air secara berperingkat bermula 6 pagi esok.

“Berdasarkan pemantauan sehingga 6 petang tadi, 16 peratus akaun pelanggan berdaftar yang menerima bekalan air secara terus (direct supply) sudah pulih.

“Bagi Kuala Selangor dan Hulu Selangor, kami mensasarkan pemulihan bekalan pada Rabu, diikuti Gombak pada Khamis, manakala Kuala Lumpur, Klang dan Shah Alam Jumaat.

“Petaling dan Kuala Langat pula disasarkan pulih Sabtu ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Raof berkata, 97 lori tangki air dan 34 lori tangki jumbo digerakkan bagi penghantaran bekalan air kepada pelanggan.

“Selain itu, 16 Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang beroperasi 24 jam dan 17 lokasi pili awam bagi menyalurkan bantuan kepada pelanggan yang terjejas diaktifkan,” katanya.

Maklumat dan status terkini mengenai bekalan air boleh dirujuk melalui aplikasi telefon bimbit Air Selangor dan laman sesawang www.syabas.com.my.

Harian Metro melaporkan empat LRA dihenti tugas selepas pencemaran minyak diesel dari sumber air mentah Sungai Selangor dikesan di muka sauk semua loji itu semalam.

LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta LRA Rantau Panjang itu terpaksa kembali dihenti tugas secara berperingkat bermula 6 petang hingga 8.15 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 8:39 PM