GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Siraj Mohd Zaini


STATUS pemulihan bekalan air di kawasan terjejas susulan henti tugas di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan LRA Rantau Panjang akibat pencemaran diesel kini sudah hampir 100 peratus.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad berkata, sehingga jam 6 petang tadi, peratus pemulihan bekalan air berdasarkan jumlah akaun berdaftar berada di tahap 99 peratus.

Menurutnya, lima wilayah iaitu Gombak, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Kuala Lumpur dan Kuala Langat sudah pulih sepenuhnya manakala baki empat kawasan lagi masih dalam proses pemulihan.

“Dua wilayah lagi iaitu Klang dan Shah Alam serta wilayah Petaling masing-masing berada di tahap 99 peratus.

“Air Selangor mensasarkan proses pemulihan keseluruhan kawasan adalah pada hari Jumaat ini pada jam 9 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, di Shah Alam, hari ini.

Abdul Raof berkata lori-lori tangki masih digerakkan ke kawasan terjejas dan pengguna di lokasi yang telah pulih gangguan bekalan diminta supaya menggunakan air dengan berhemah.

Katanya, pengguna juga boleh mendapatkan maklumat dan status terkini gangguan bekalan air melalui aplikasi ‘Air Selangor’ pada telefon bimbit atau menerusi www.syabas.com.my, Facebook ‘Air Selangor’ dan Twitter @air_selangor.

Ahad lalu, pencemaran diesel di Sungai Selangor mengakibatkan empat LRA terpaksa dihenti tugas yang mengakibatkan gangguan bekalan air terhadap 1,191,942 akaun pelanggan di wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 6:38 PM