BERNAMA

BEKALAN air di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang yang terjejas berikutan operasi henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih hampir pulih sehingga 96 peratus sehingga 6 pagi ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad berkata, segala usaha diambil bagi meningkatkan tekanan dan aliran di sistem agihan bagi mempercepatkan proses pemulihan keseluruhan di kawasan terjejas.

“Setakat ini, bekalan air di 470 kawasan dalam empat wilayah itu sudah pulih sepenuhnya.

“Bantuan melalui lori tangki air terus digerakkan dan Pusat Khidmat Setempat masih beroperasi sehingga bekalan pulih sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sejak 5 petang Rabu lalu susulan pencemaran bau di Sungai Semenyih dan punca pencemaran yang berada pada jarak 16 kilometer dari muka sauk loji sudah dikenal pasti.

Dilaporkan sejumlah 512 kawasan membabitkan 377,141 pelanggan berdaftar di empat daerah terbabit terkesan dengan gangguan bekalan air dan tekanan rendah secara berperingkat susulan insiden itu.

Orang ramai boleh merujuk makluman rasmi dan status terkini melalui laman sesawang www.syabas.com.my, aplikasi telefon bimbit Air Selangor, Facebook dan Twitter Air Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 9:48 AM