KEDUDUKAN Chong Wei di ranking dunia mungkin terjejas.
KEDUDUKAN Chong Wei di ranking dunia mungkin terjejas.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas menarik diri daripada menyertai Terbuka China yang berlangsung minggu ini, pemain perseorangan lelaki negara, Datuk Wira Lee Chong Wei terpaksa mengambil keputusan sama menjelang Terbuka Hong Kong 22 hingga 27 November ini, sekali gus menjejaskan kedudukan selaku pemain nombor satu dunia.

Keputusan ini dijangka menjejaskan sedikit ranking pemain itu selaku nombor satu dunia selain kedudukan Siri Super Akhir yang bakal berlangsung di Dubai 14 hingga 18 Disember depan.

Chong Wei ketika ini menduduki tangga kelima dunia.

Menurut jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan anak didiknya itu masih belum pulih sepenuhnya selepas mengalami kecederaan hamstring ketika beraksi di Terbuka Denmark bulan lalu.

“Dia masih belum pulih 100 peratus. Lebih baik tidak pergi, jika belum cergas dan bersedia,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Jelasnya, kedudukan ranking Siri Super Akhir Chong Wei mungkin sedikit terjejas namun mereka tidak mempunyai pilihan selain turut menarik diri daripada Terbuka Hong Kong.

“Kalau dia pergi juga saya rasa tidak akan mendapat keputusan maksimum (paling baik). Memang hanya lapan pemain terbaik layak ke Siri Super Akhir namun satu lagi tempat akan disediakan khas buat juara Sukan Olimpik Rio 2016.

“Fokus sekarang adalah kejohanan tahun depan (selain Siri Super Akhir),” kata jurulatih kelahiran Indonesia itu.

Chong Wei adalah penyandang juara Terbuka China dan Hong Kong.

Berada di kedudukan teratas ranking Siri Super Akhir ialah perseorangan Korea Selatan, Son Wan Ho, diikuti Tian Houwei (China) dan Jan O Jorgensen (Denmark).

Seorang lagi pemain Denmark, Hans Kristian Vittinghus keempat, manakala Ng Ka Long dari Hong Kong keenam dan Viktor Axelsen (Denmark) ketujuh selain Mark Zwiebler (Jerman) kelapan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2016 @ 8:40 AM