Oleh Ferzalfie Fauzi


Sepang: Hero kalah dulu menang kemudian. Biar kalah sekarang, jangan tunduk di Olimpik.

Itu falsafah mudah jurulatih perseorangan negara, Hendrawan mengenai anak buahnya Datuk Lee Chong Wei yang pulang ke tanah air semalam selepas tersingkir pusingan pertama Seluruh England minggu lalu.

Hendrawan menganggap kekalahan di Seluruh England ada baiknya kerana sebelum ini di dua temasya Olimpik 2008 (Beijing) dan 2012 (London) Chong Wei berada di puncak prestasi terlalu awal.

“Bermula dari tahun lalu memang kita cuba untuk mengejar kedudukan ranking dunia namun tidak sangka Chong Wei terlalu awal kembali ke kedudukan nombor dua.

“Kami menyangkakan dia akan berada di kedudukan ketiga atau keempat dunia pada Mei,” katanya ketika ditemui di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Jelasnya, tersingkir di pusingan pertama Seluruh England ada nilai positif kerana membolehkan mereka membuat persiapan dan melihat kekurangan yang perlu diperbaiki.

“Kita kena tengok dari sudut positif. Bukan semua kemenangan ada nilai yang bagus dan tidak semuanya kekalahan itu tidak bagus.

“Chong Wei juga faham kekalahan ini sangat penting buatnya untuk memberi fokus sepenuhnya sehingga Olimpik dalam tempoh lima bulan.

“Sekarang kita tengok semua pemain sudah bersedia. Kami fikir kita tidak boleh fokus kepada Lin Dan dan Chen Long saja. Pemain negara lain juga sudah bersedia terutama ketika di Olimpik Rio nanti,” kata jurulatih kelahiran Indonesia itu.

Ujarnya, Chong Wei harus membuat persediaan lebih awal dan tidak boleh memandang rendah keupayaan pemain lain termasuk di Olimpik nanti, bermula seawal pusingan pertama lagi.

“Dia harus mula fokus dan ketika di Birmingham baru-baru ini kami bukan hanya memantau perkembangan Lin Dan dan Chen Long.

“Kami turut melihat pemain perseorangan lain seperti Son Wan Ho (Korea Selatan) dan Viktor Axelsen (Denmark),” kata Hendrawan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2016 @ 6:51 AM