PELBAGAI dokumen termasuk kad pengenalan, sijil kelahiran dipercayai palsu dirampas JSJK Selangor daripada sepasang suami isteri yang dipercayai menjadi dalang sindiket pemalsuan dokumen. FOTO Ihsan Polis Selangor
PELBAGAI dokumen termasuk kad pengenalan, sijil kelahiran dipercayai palsu dirampas JSJK Selangor daripada sepasang suami isteri yang dipercayai menjadi dalang sindiket pemalsuan dokumen. FOTO Ihsan Polis Selangor
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Polis menahan sepasang suami isteri yang dipercayai menjadi dalang sindiket pemalsuan dokumen di sekitar negeri ini.

Pasangan berusia dalam lingkungan 58 tahun itu ditahan di Taman Dato Harun, Petaling Jaya, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Azman Ali berkata, pihaknya terlebih dahulu menerima maklumat berkaitan sindiket pemalsuan kad pengenalan, sijil kelahiran, geran kenderaan dan lain-lain dokumen yang bergiat aktif di sekitar negeri ini.

Katanya, susulan itu pemantauan dan pemerhatian dijalankan JSJK ke atas sepasang suami isteri yang dipercayai dalang kepada sindiket terbabit di sebuah restoran di Taman Dato Harun sekitar jam 9 malam.

"Selepas pemantauan dibuat pihak JSJK menahan dan membuat pemeriksaan ke atas pasangan warga tempatan itu dan menemui beberapa kad pengeluaran wang automatik (ATM) serta kad pengenalan; kad pemastautin tetap dan sijil kelahiran warganegara Malaysia yang dipercayai palsu.

"Hasil soal siasat awal yang dijalankan tangkapan kemudian membawa kepada sebuah rumah di kawasan Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

"Hasil pemeriksaan polis menjumpai dan merampas sijil kelahiran pelbagai nama, geran kenderan (VOC) bercetak pelbagai nombor kenderaan; geran kenderaan kosong; cukai jalan kenderaan bercetak dan kosong; set komputer riba dan mesin pencetak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Azman berkata hasil semakan mendapati suspek lelaki mempunyai satu rekod jenayah lampau iaitu kesalahan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan (Pemalsuan).

Katanya, kedua-dua suspek direman empat hari bermula hari ini dan siasatan sudah dijalankan oleh pihak JSJK Selangor mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"JSJK Selangor juga ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli apa-apa dokumen pengenalan diri, lesen memandu, cukai jalan yang palsu kerana adalah menjadi satu kesalahan memiliki dan menggunakan mana-mana dokumen palsu untuk tujuan memperdaya.

"Orang ramai juga boleh membantu pihak polis dengan menyalurkan maklumat jika terdapat sebarang aktiviti seumpama ini berlaku di sekitar kawasan anda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 11:09 PM