Antara barang rampasan selepas menahan dua lelaki yang disyaki terbabit dalam kegiatan pecah rumah, simbah cat di susur keluar Lebuhraya Seremban-Port Dickson pagi semalam. Foto Ihsan PDRM
Antara barang rampasan selepas menahan dua lelaki yang disyaki terbabit dalam kegiatan pecah rumah, simbah cat di susur keluar Lebuhraya Seremban-Port Dickson pagi semalam. Foto Ihsan PDRM
Mohd Amin Jalil


DUA lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah, curi kereta dan simbah cat berjaya ditahan dalam sekatan jalan raya di susur keluar Lebuhraya Seremban-Port Dickson pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, suspek berusia 25 dan 30 tahun yang beralamat di Johor Bahru itu ditahan pada 10.30 pagi.

Menurutnya, mereka ditahan oleh petugas sekatan jalan raya ketika sedang melaksanakan Op Benteng bagi menangani pendatang asing ketika Covid-19.

"Kereta jenis Honda City yang dinaiki suspek didapati nombor casis dan enjinnya tidak sama dengan nombor pendaftaran kenderaan berkenaan.

"Hasil semakan juga mendapati kereta terbabit dikehendaki bersabit kes pecah rumah di Kulai dan simbah cat di rumah peminjam along (ceti haram) di Pasir Panjang, Port Dickson," katanya di Seremban hari ini.

Aibee berkata, pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson turut membuat siasatan dan hasil pemeriksaan terhadap kereta terbabit dan menemui barang yang disyaki digunakan suspek bagi kegiatan simbah cat di Pasir Panjang.

Menurutnya, siasatan awal terhadap telefon bimbit suspek menemui rakaman video kegiatan menyimbah cat di rumah peminjam.

Menurutnya, polis merampas semua barangan itu termasuk empat botol yang mengandungi cecair merah disyaki cat dan tiga tong aluminium.

Aibee berkata, kedua-dua suspek turut mengaku menyimbah cat di sebuah rumah di Taman Mutiara Si Rusa, Port Dickson dan di beberapa tempat di negeri lain.

Katanya, kedua-dua suspek diserahkan kepada BSJD Kulai untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

"Sebaik siasatan pihak IPD Kulai selesai, kedua-dua suspek akan dibawa semula ke Negeri Sembilan untuk siasatan bagi kes di Pasir Panjang mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 8:45 PM