Muhaamad Hafis Nawawi


Serdang: Dua penganggur menyasarkan rumah teres yang mempunyai kenderaan mewah dan tiada pengawal keselamatan.

Selepas mengenal pasti sasaran, mereka akan melakukan pecah rumah dan melarikan kenderaan terbabit.

Itu taktik dua penganggur yang dipercayai aktif melakukan kegiatan ini sejak November tahun lalu.

Bagaimanapun, kegiatan mereka terbongkar selepas ditahan kerana disyaki terbabit kes pecah rumah dan melarikan sebuah Toyota Alphard di Taman Muhibah, Seri Kembangan di sini, pada 18 November lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, pihaknya menahan dua lelaki berusia 44 dan 55 tahun itu di Bandar Damai Perdana, Balakong kelmarin.

Menurutnya, lelaki berusia 44 tahun itu memiliki 13 rekod berkaitan kes pecah rumah, lapan rekod berkaitan kes dadah di mana dia berperanan sebagai 'mastermind' dan 'striker'.

"Rakannya yang berusia 55 tahun memiliki 11 rekod berkaitan kes dadah pula berperanan sebagai 'transporter'.

"Modus operandi dua penjenayah itu adalah mensasarkan rumah teres yang mempunyai kenderaan mewah yang parkir di dalam kawasan kediaman di mana kawasan perumahan itu tidak mempunyai pengawal keselamatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di sini, hari ini.

Anbalagan berkata, suspek akan memandu kenderaan dan berhenti di mana-mana rumah secara rawak, rakannya akan turun dan menekan loceng rumah beberapa kali.

"Jika tiada penghuni yang keluar, suspek akan memecah masuk kediaman itu dan mengambil barangan berharga sebelum melarikan kenderaan mewah.

"Mereka turut menukar nombor pendaftaran kenderaan untuk mengaburi pihak berkuasa.

"Kita juga berjaya menemui semua Toyota Alphard yang dilaporkan hilang susulan penahanan kedua suspek itu.

"Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu, kita menjumpai dua beg yang mengandungi pelbagai alatan pecah rumah yang diubah suai," katanya.

Beliau berkata, turut ditemui sebilah parang, dua bilah pisau dan sebuah objek yang menyerupai sepucuk pistol di dalam kenderaan itu.

"Hasil soal siasat, seorang daripada suspek mengaku melarikan sebuah lagi kenderaan jenis Honda HR-V.

"Kereta yang dilaporkan hilang pada November tahun lalu itu dijumpai di tepi Jalan Damai Perdana 1/5b, Bandar Damai Perdana," katanya.

Menurutnya, pihaknya turut menemui sebuah lagi kenderaan Honda CRV di Wisma Tanjung Balai, Lebuhraya Sungai Besi, di mana kenderaan itu dilaporkan hilang di Kajang.

Anbalagan berkata, ujian saringan air kencing mendapati kedua suspek itu positif dadah.

"Kita percayai dapat menyelesaikan sembilan kes pecah rumah membabitkan nilai kerugian RM700,000, hasil daripada tangkapan dua lelaki itu.

"Mereka direman tujuh hari bermula semalam hingga Isnin depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457/379A Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 3:51 PM
AA Anbalagan bersama pegawainya menunjukkan kenderaan mewah yang dirampas dalam kes pecah rumah pada sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah Serdang. FOTO HAZREEN MOHAMAD
AA Anbalagan bersama pegawainya menunjukkan kenderaan mewah yang dirampas dalam kes pecah rumah pada sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah Serdang. FOTO HAZREEN MOHAMAD