FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Pusat Latihan Polis Marin (PULAMAR) dan Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor akan dipindahkan ke sebuah kompleks yang akan dibina di Tanjung Pelepas dekat sini.

Kompleks yang dibina di atas tanah berkeluasan 20.23 hektar itu akan menempatkan PULAMAR, pusat operasi PPM Wilayah Dua dan kemudahan perumahan yang dijangka mula dibina akhir tahun ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim berkata, pembinaan kompleks yang mampu menampung kira-kira 500 pegawai dan anggota itu menelan belanja RM400 juta.

"Tanah seluas 20.23 hektar yang sebelum ini diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dikembalikan semula oleh kerajaan kepada pihak PPM tahun lalu dalam usaha meletakkan semula PPM pada tugas asalnya iaitu menjaga perairan negara.

"Ia juga sebagai menggantikan PULAMAR dan Markas PPM di Tampoi ini yang dilihat sudah tidak sesuai digunakan berikutan uzur dan air di jetinya yang semakin cetek," katanya ketika sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Markas PPM Wilayah Dua Johor di Tampoi di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2016 @ 12:07 PM