MOHD Yusoff (tengah) menyaksikan penyerahan tongkat kuasa oleh Mantan Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Abdul Rahman Mohamad (kiri) kepada  Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah (kanan) di Perkarangan Markas PPM Wilayah Dua Tampoi, Johor Bahru. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
MOHD Yusoff (tengah) menyaksikan penyerahan tongkat kuasa oleh Mantan Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Abdul Rahman Mohamad (kiri) kepada Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah (kanan) di Perkarangan Markas PPM Wilayah Dua Tampoi, Johor Bahru. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Nurul Amanina Suhaini


JOHOR BAHRU: Senarai tekong serta ahli sindiket penyeludupan migran di negeri ini sudah dikenal pasti untuk ditahan.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, setakat ini, anggota 10 sindiket di negeri ini membabitkan warga tempatan serta asing yang memiliki taraf pemastautin tetap sudah diambil tindakan.

"Senarai suspek terbabit sudah disalurkan kepada Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) untuk tindakan selanjutnya.

"Ia akan digunakan untuk menahan dan pelbagai perkara lain. Banyak isu kurang (kegiatan penyeludupan) direkodkan apabila Op Benteng dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Komander PPM Wilayah Dua, Pengerusi PERKEP PPM Wilayah Dua dan Komandan Pusat Latihan Marin (PULAMAR) di Markas PPM Wilayah Dua Tampoi dekat sini, hari ini.

Turut hadir Komander PPM Wilayah Dua Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah dan Deputi Superintendan B S Sarebjit Singh.

Dalam pada itu, Mohd Yusoff berkata, PPM Wilayah Dua Johor merekodkan 3,917 kes tangkapan dan rampasan berjumlah RM133.5 juta sejak 2017 hingga Jun lalu.

Katanya, secara purata, sepanjang tempoh itu, setiap sebuah daripada 31 bot ronda PPM Wilayah Dua Johor di lapangan menghasilkan 126 kes dengan purata anggaran nilai rampasan RM4.3 juta.

"Selain itu, difahamkan, kerajaan sudah meluluskan lebih RM100 juta untuk menambah baik radar Sistem Awasan Laut (SAWASLA) yang ditadbir urus Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Setakat ini, radar ini beroperasi di perairan barat, Langkawi, Lumut, Klang dan di Tanjung Pengelih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 2:53 PM