Pasukan Polis Marin Wilayah Dua Johor menemui 185 karton rokok tidak sah dalam Proton Waja. FOTO ihsan PPM.
Pasukan Polis Marin Wilayah Dua Johor menemui 185 karton rokok tidak sah dalam Proton Waja. FOTO ihsan PPM.
Izlaily Nurul Ain Hussein


PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor menahan lelaki, 21, dan merampas 185 karton rokok tidak sah serta sebuah kereta di Jalan Cengkerik, Pusat Perdagangan Kempas, Tampoi, Johor Bahru, 4 petang semalam.

Komandernya, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, tangkapan dan rampasan itu dibuat pada Ops Landai hasil risikan serta maklumat awam.

“Pada operasi itu, enam anggota PPM menahan Proton Waja yang dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di lokasi.

“Kami menahan pemandunya dan pemeriksaan menemui rokok terbabit di simpan di tempat duduk belakang dan di ruang simpanan barang belakang kereta," katanya.

Beliau berkata, rokok pelbagai jenama itu dianggarkan bernilai lebih RM18,000 dan untuk pasaran daerah berkenaan.

“Suspek ditahan ketika sedang menghantar rokok terbabit ke kedai-kedai,” katanya.

Katanya, lelaki itu serta barangan rampasan dibawa ke Markas PPM Wilayah Dua, Tampoi untuk proses dokumentasi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 4:52 PM