Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri. - Foto FAIL
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri. - Foto FAIL
BERNAMA

Kuala Lumpur: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata beliau tidak campur tangan dalam tugas peguam negara atau urusan mahkamah.

Kata Nancy, beliau hanya menjawab soalan bagi Jabatan Peguam Negara di Parlimen dan perkara berkaitan mahkamah kerana ia sebahagian portfolio beliau.

"Apa jua yang saya jawab berdasarkan undang-undang. Di Malaysia, peguam negara bukanlah wakil yang dipilih, jadi beliau tidak boleh berada di Parlimen.

"Dalam kes saya, saya adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan bukan menteri undang-undang seperti sesetengah daripada anda (media) melaporkan. Undang-undang menjadi sebahagian tugas saya," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini.

Nancy mengulas kenyataan Anggota Parlimen Puchong Gobind Singh Deo yang meminta Nancy menasihati Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali supaya membiarkan mahkamah menentukan sama ada kuasa pendakwaan beliau adalah mutlak.

Gobind berkata demikian semalam, selepas Nancy berkata anggota Parlimen tidak boleh menyoal peguam negara secara terus, melainkan peguam negara adalah wakil yang dipilih atau dilantik.

Nancy menegaskan beliau tidak akan menasihati Mohamed Apandi seperti disaran Gobind memandangkan peguam negara lebih arif mengenai undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2016 @ 9:44 PM