Nancy Shukri (kanan) bersalaman dengan Joseph Tawie. FOTO MOHD ROJI KAWI
Nancy Shukri (kanan) bersalaman dengan Joseph Tawie. FOTO MOHD ROJI KAWI
Mohd Roji Kawi


MAHKAMAH Tinggi Petra Jaya di Kuching Sarawak hari ini memerintahkan bekas wartawan, Joseph Tawie, menerbitkan kenyataan permohonan maaf kepada Datuk Seri Nancy Shukri di Facebook.

Ia selepas dia didakwa memfitnah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri di laman sosial berkenaan, Mei tahun lalu.

Hakim Supang Lian turut mengarahkan Joseph, 74, menerbitkan permohonan maaf di dua akhbar tempatan berbahasa Inggeris dalam tempoh tiga hari, mulai hari ini.

Malah Joseph turut diarahkan membayar RM25,000 kepada Nancy dengan bayaran awal sebanyak RM10,000 perlu dibuat dalam tempoh 30 hari.

Supang mengeluarkan arahan itu selepas Joseph, memohon maaf secara lisan kepada Nancy pada prosiding kes saman fitnah yang difailkan Nancy terhadapnya, hari ini.

Joseph dalam catatan di laman sosial Facebook pada 10 dan 13 Mei tahun lalu, mendakwa Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong, menyalahgunakan kuasa beliau untuk memaksa Ketua Kampung atau Tuai Rumah di Sungai Bulu, Sadong Jaya untuk menangguhkan perayaan Gawai yang sepatutnya dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Nancy mengemukakan saman terhadap Joseph kerana kenyataan yang dibuat bekas wartawan tidak pernah dilakukannya dan ia menjejaskan reputasinya selaku wakil rakyat.

Sementara itu, Joseph yang ditemui selepas prosiding itu berkata, beliau menyesal dengan apa yang dilakukannya itu.

“Saya benar-benar ikhlas memohon maaf dan lega apabila beliau (Nancy) bukan sahaja menerimanya dengan baik malah menganggap saya sebagai kawan baru kerana sebelum ini, kami memang tidak pernah bersemuka,” katanya yang juga bekas pegawai polis itu.

Nancy yang turut ditemui berkata, beliau gembira kerana kes itu diselesaikan dengan baik dan percaya Joseph juga lega dengan keputusan Hakim.

“Memang benda ini (fitnah) menyebabkan saya rasa tertekan kerana saya tidak pernah melakukan seperti apa yang didakwa.

“Saya gembira, kes ini berkesudahan dengan baik dan berharap keharmonian kita sebagai rakyat Sarawak akan berkekalan tanpa diganggu gugat oleh isu seperti ini lagi,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 3:23 PM