TASHA minat terhadap sistem pengangkutan awam sejak kecil.
TASHA minat terhadap sistem pengangkutan awam sejak kecil.
TASHA minat terhadap sistem pengangkutan awam sejak kecil.
TASHA minat terhadap sistem pengangkutan awam sejak kecil.
TASHA minat terhadap sistem pengangkutan awam sejak kecil.
TASHA minat terhadap sistem pengangkutan awam sejak kecil.

SITI FARAHIYAH AZIZ percaya golongan muda mampu melakukan perubahan dalam kerjaya demi masa depan.

Siapa sangka gadis manis Raja Natasha Raja Kamaroszaman, 22, yang mesra dipanggil Tasha antara pemandu tren termuda di bawah Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA). Meskipun majoriti pemandu tren lelaki, ia bukan penghalang untuknya menyesuaikan diri.

Menurut anak sulung daripada lima beradik ini, walaupun kerjayanya sekarang jauh berbeza dengan kursus pengajian ketika diploma iaitu Diploma Kejuruteraan Elektronik Komputer, dia tidak pernah menyesal dengan pilihannya itu.

“Saya sememangnya lebih gemar kepada pembelajaran yang tertumpu kepada praktikal berbanding teori kerana kaedah pembelajaran secara praktikal mudah difahami.

“Keputusan saya memilih kerjaya sebagai pemandu tren tidak pernah mendapat halangan daripada keluarga kerana mereka sudah lama mengetahui minat saya terhadap sistem pengangkutan ini sejak kecil lagi,” kata gadis kelahiran Cheras itu.

PENGANGKUTAN UTAMA

Kehidupan di ibu kota yang sentiasa sesak menyebabkan Tasha dan keluarga menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam khususnya LRT, monorel dan Keretapi Tanah Melayu (KTM).

“Sejak kecil lagi kami sekeluarga memanfaatkan sistem pengangkutan ini kerana lebih cepat dan ia sudah menjadi pengangkutan utama kami.

“Bukan tidak memiliki kereta, namun ia lebih menyenangkan kerana setiap stesen berdekatan dengan lokasi tumpuan, menjimatkan kos serta dapat merancang waktu perjalanan,” katanya.

PERASAAN INGIN TAHU

Daripada pengangkutan utama, lama-kelamaan timbul perasaan ingin tahu dalam diri Tasha mengenai sistem tren beroperasi.

“Walaupun ketika itu saya masih kanak-kanak, sering kali terlintas pelbagai persoalan mengenai tren seperti cara memandu tren dan sistem kawalan operasi.

“Apabila dapat tahu pihak PRASARANA membuka pengambilan pekerja baru untuk memandu tren, ia ibarat langkah kanan buat saya kerana sudah lama mengimpikan kerjaya itu,” ujarnya.

CABARAN

Mungkin ada segelintir masyarakat beranggapan memandu tren satu kerja mudah kerana sudah ada landasan yang disediakan.

“Namun, keadaan sebenar jauh berbeza daripada yang difikirkan. Kebiasaannya satu tren boleh memuatkan 1,200 penumpang.

“Ketika memikul tanggungjawab menghantar penumpang sampai ke destinasi dengan selamat, setiap pemandu mesti fokus terhadap laluan landasan supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini,” katanya.

Menurutnya, pemandu mesti sentiasa peka dengan keadaan persekitaran dan pada masa sama perlu mengawal tren, memfokuskan pandangan kepada landasan dan mendengar arahan daripada pusat kawalan operasi.

PENGURUSAN MASA

“Semasa pemanduan, penjagaan masa sangat penting supaya tidak berlaku kelewatan kerana satu landasan berkongsi dengan beberapa tren lain yang melalui arah yang sama. Sebagai contoh, tempoh masa yang ditetapkan untuk membuka dan menutup pintu adalah enam saat saja.

“Disiplin dalam menguruskan masa perlu dipraktikkan kerana penumpang sedang menunggu tren sampai di stesen seterusnya. Kelewatan tren boleh menimbulkan kemarahan dan menyebabkan mereka terlewat untuk ke suatu lokasi penting,” katanya.

JANGAN TERLALU MEMILIH

Setiap pekerjaan ada senang dan susahnya tapi dalam keadaan berbeza. Cara kita menghadapi ujian itu perlu bijak supaya tidak tertekan.

“Walaupun menjadi pemandu tren tidak setanding atau glamor seperti pemandu kapal terbang, tanggungjawab yang dipikul masih sama.

“Kita perlu merebut peluang yang ada walaupun ia bertentangan dengan bidang kita pelajari. Jangan takut mencuba sesuatu yang baru kerana tindakan memilih pekerjaan menyebabkan kita terlepas peluang yang lalu di depan mata,” katanya.

HARAPAN

“Saya berharap dalam tempoh lima atau 10 tahun membawa tren dalam negara, saya mendapat peluang memandu tren di negara lain seperti Makkah dan Bangkok.

“Selain itu, setiap negara ada kelebihan teknologi tersendiri. Secara tidak langsung saya boleh mempelajari teknologi negara luar untuk dikongsi dan diaplikasi terhadap sistem pengangkutan awam di sini sekiranya bersesuaian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2016 @ 12:33 PM