PENJIMATAN kos projek LRT3 sebanyak 47 peratus berbanding kos asal RM31.65 bilion mampu membantu mengawal harga tambang tren.
PENJIMATAN kos projek LRT3 sebanyak 47 peratus berbanding kos asal RM31.65 bilion mampu membantu mengawal harga tambang tren.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


KUALA LUMPUR: Penjimatan kos projek Sistem Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) sebanyak 47 peratus berbanding kos asal RM31.65 bilion mampu membantu mengawal harga tambang tren, sekali gus mengurangkan beban rakyat.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, perbincangan, rundingan dan usaha rasionalisasi yang dilakukan kerajaan berjaya mengurangkan kos keseluruhan projek kepada RM16.63 bilion berbanding kos asal.

Beliau berkata, penjimatan RM15.02 bilion itu adalah jumlah yang menguntungkan untuk masa depan rakyat.

“Dengan penjimatan sebanyak itu, ia bukan saja dapat mengawal harga tambang tren, malah mampu meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.

“Ini kerana tiada guna jika sistem pengangkutan baharu dibina cantik, tetapi tidak digunakan disebabkan oleh tambang yang terlalu tinggi akibat kos pembinaan yang tidak terkawal,” katanya kepada media selepas menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Novasi LRT3 antara Syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) George Kent Sdn Bhd (MRCBGK) dan sembilan syarikat Kontraktor Pakej Kerja (WPCs) di ibu negara, semalam.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Pada majlis berkenaan, Prasarana diwakili Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Prasana, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain, manakala MRCBGK diwakili Pengarah Projek LRT3, Patrick Hwang.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, rundingan penjimatan itu dicapai tanpa menggugat kualiti perkhidmatan dan keupayaan LRT3 untuk menampung keperluan harian penduduk di sepanjang laluan berkenaan.

“Kajian menganggarkan sebanyak 67,000 pengguna akan menggunakan LRT3 sehari apabila ia dibuka kelak pada tahun 2024.

“Ia mampu menampung keperluan harian dua juta warga kota sehingga tahun 2042,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Hazlan berkata, jarak projek itu dikekalkan iaitu 37.6 kilometer.

Namun, kata Mohamed Hazlan, jumlah stesen dikurangkan daripada 26 kepada 20 stesen dengan tambahan lima stesen yang disenaraikan untuk stesen pada masa depan.

“Hanya sebuah stesen yang dibatalkan iaitu Stesen Hishamuddin, manakala Stesen Bandar Botanik, Bukit Raja, Raja Muda, Temasya dan Tropicana disenaraikan sebagai stesen pada masa depan,” katanya.

Info terkini LRT3:

* Jarak laluan sejauh 37.6 KM dari Bandar Utama ke Johan Setia.

* Memiliki 20 stesen (lima disenarai untuk stesen pada masa depan)

* Saiz stesen dikurangkan daripada 120 meter kepada 83 meter.

* Ruang letak kenderaan di kemudahan Park N Ride dikurangkan kepada 2,300 petak berbanding jumlah asal, 6,000 petak.

* Menggunakan 22 set tren tiga gerabak

* Mampu menampung kegunaan dua juta penduduk.

* Dijangka siap 28 Februari 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 8:48 AM