Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya yang kerap tergendala sejak kebelakangan ini dijangka akan kembali pulih sepenuhnya menjelang suku ketiga tahun depan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, perkhidmatan laluan berkenaan adalah paling sibuk dan sesak di Lembah Klang terutama pada waktu puncak.

Menurutnya, masalah itu dipercayai dapat diatasi dengan komitmen Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad mempercepatkan penambahan tren yang ketika ini sedang diselenggara dan pembelian tambahan 19 set tren.

"Secara keseluruhannya, ada 56 set (tren) dan setakat ini yang beroperasi hanya 38 unit saja kerana ada selebihnya dalam proses penyelenggaraan.

"Ketika ini setiap tren beroperasi lima minit dan untuk mencapai tahap (operasi bagi menampung penumpang dan atasi masalah kesesakan) tiga minit untuk setiap satu tren, maka ia memerlukan 48 tren yang beroperasi.

"Saya sudah berbincang dan meminta Prasarana supaya cuba mempercepatkan dan kita akan tambah set tren secara beransur-ansur. Jangkaan kita lebih 50 set (tren) akan beroperasi suku ketiga menjelang 2023.

"Prasarana (juga) membeli 19 set tren dengan set pertamanya dijangka beroperasi menjelang Ogos 2023. Ini penting untuk memastikan perkhidmatan kita lebih cepat," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Mohd Azharuddin Mat Sah.

Anthony berkata, masalah perkhidmatan tren itu sememangnya diberikan perhatian serius kerana pihaknya mahu memastikan perkhidmatan berkenaan lebih stabil dan selamat kepada penumpang.

"Perancangannya semua tren itu akan dilakukan penyelenggaraan secara keseluruhan bagi memastikan perkhidmatannya lebih selamat dan stabil. Memang dalam tempoh ini, kita tahu ada banyak masalah timbul dan masih belum stabil.

"Saya minta maaf kerana ada perkhidmatan akan tergendala. Semua sedang diambil tindakan dan saya akan pantau dari semasa ke semasa. Menjelang Jun nanti (2023) perkhidmatan akan lebih stabil dan selamat untuk semua penumpang," katanya.

Sementara itu, mengenai kejadian 16 stesen LRT dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park yang digantung operasi akibat gangguan kepada komponen elektronik sistem kawalan tren automatik (ATC) yang menyebabkan kehilangan isyarat di antara pusat kawalan dan juga tren, beliau berkata, laporan awal sudah dikemukakan kepada Kementerian Pengangkutan.

Katanya, pihak berkenaan juga sudah melantik syarikat bebas untuk melakukan siasatan secara bebas mengenai perkara itu.

"Laporan awal sudah diberi tetapi ia belum lengkap dan memerlukan dua minggu lagi untuk mendapatkan laporan lengkap.

"(Hasil siasatan) perlu dikemukakan kepada orang ramai supaya kita tahu apa punca sebenar yang berlaku sehingga 16 stesen terpaksa ditutup," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 1:30 PM
ANTHONY Loke bercakap ketika sidang media selepas lawatan kerja ke Prasarana Malaysia Berhad, Bangsar. FOTO Asyraf Hamzah
ANTHONY Loke bercakap ketika sidang media selepas lawatan kerja ke Prasarana Malaysia Berhad, Bangsar. FOTO Asyraf Hamzah