Sebelum ini, Yaya Maembong sukar nak buka mulut bercerita mengenai hubungannya dengan pelakon ...Dalam Botol, Wan Raja. Setiap kali pihak media bertanya, dia hanya menjawab terpaksa berdiam diri kerana akur pada permintaan bapanya, Ismail Maembong.

Kata Yaya, bapanya seorang yang tegas dan tidak mahu anak-anaknya terlalu ghairah bercerita hal peribadi sedangkan hasilnya belum nampak. Tidak pasal-pasal malu sendiri jika dia tiba-tiba hanya bertepuk sebelah tangan.

Bagaimanapun, pasangan ini akhirnya mampu tersenyum lebar kerana hubungan kedua-duanya mendapat restu keluarga kedua-dua belah pihak dan bakal diakhiri dengan perkahwinan.

Kakak kepada Emma dan Chacha Maembong ini tidak lagi bimbang akan dimarahi ayahnya apabila bercerita hubungannya dengan Wan Raja kerana mereka akan disatukan pada 14 Disember ini.

Majlis persandingan gilang gemilang pasangan itu akan berlangsung di Dewan Sri Putra, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil pada tarikh yang cukup bermakna buat mereka berdua.

Pasangan ini akan mengadakan majlis bermula jam 7.30 hingga 11 malam dan sebagai pencinta seni tradisi, mereka berharap tetamu jemputan juga hadir mengenakan pakaian tema bangsawan atau tradisional.

Tahniah SS ucapkan untuk Yaya dan Wan Raja. Semoga perkahwinan mereka kekal hingga ke anak cucu dan seterusnya ke syurga. Mana tahu selepas ini, adik-beradiknya terutama Emma pula bakal mengikut jejaknya pula. SS memang tak sabar nak melihat Emma dan Zizan berada atas pelamin.

SS: Tetap tunggu perkahwinan kerabat diraja dan seorang selebriti terkenal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 5:00 AM