KENDERAAN pacuan empat roda menghempap kereta jenis Proton Wira.
KENDERAAN pacuan empat roda menghempap kereta jenis Proton Wira.
Oleh Mohd Rizal Abdullah

Kuala Lumpur: Seorang remaja maut dirempuh sebuah pacuan empat roda jenis Nissan Navara di Jalan Raja berhampiran Dataran Merdeka, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 4 pagi itu, mangsa, Irham Muzani Azhar, 19, yang menunggang motosikal maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan S Markandan berkata, pemandu kenderaan itu hilang kawalan lalu merempuh mangsa dari arah bertentangan.

Menurutnya, rempuhan itu mengakibatkan kenderaan terbabit berpusing beberapa kali lalu menghempap sebuah kereta jenis Proton Wira yang diparkir di tepi jalan.

"Pemandu termasuk tiga penumpang kenderaan itu hanya mengalami kecederaan ringan.

"Siasatan awal mendapati pemandu termasuk penumpang kenderaan itu dibawah pengaruh alkohol," katanya.

Mangsa yang menetap di Taman Anggerik Perdana, Semenyih dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat

Kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 3:30 PM