Oleh Asmah Rusman


Kuala Lumpur: Dua maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan termasuk sebuah lori di Jalan Genting Kelang arah Bulatan Pahang ke Setapak, awal pagi tadi.

Dalam kemalangan pada 1.15 pagi itu, pemandu kereta Nissan Grand Livina, Kok Yik Hong, 35 dan penumpang kenderaan itu, Sam Ah Mooi, 60 maut di lokasi kejadian.

Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Wira yang dipandu seorang remaja berusia 18 tahun dari arah Setapak hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan sebelah kanan lalu melanggar Nissan Grand Livina dan kereta Perodua Myvi.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan S Markandan mengesahkan kejadian itu dan berkata, sebuah lori yang berada di lorong tengah tidak sempat mengelak lalu merempuh Nissan Grand Livina.

Dua lagi penumpang Nissan Grand Livina termasuk seorang kanak-kanak berusia lima tahun dilaporkan parah dan sedang menerima rawatan di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2015 @ 1:23 PM