Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Meskipun mengutip mata pada dua pusingan pertama Kejohanan Superbike Dunia (WSBK) Zulfahmi Khairuddin tetap tidak berasa puas dengan pencapaiannya.

Sebaliknya pelumba berusia 24 tahun itu yang beraksi bersama pasukan Orelac Racing dalam kategori Supersport (WSS) berkata, dia mahu meraih kedudukan podium.

“Kedudukan ke-13 dan ke-7 yang saya raih pada dua pusingan pertama bukan terbaik.

“Saya rasa kedudukan paling baik adalah untuk memenangi perlumbaan. Jadi saya perlu berusaha lebih keras untuk memenuhi impian itu,” katanya.

Bekas pelumba Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) itu berkata, dia mempunyai keyakinan tinggi kerana jentera Kawasaki ditunggangnya cukup kompetitif.

“Saya yakin motosikal saya sangat kompetitif. Yang penting saya perlu perbaiki catatan masa setiap pusingan selepas ini.

“Pada pusingan kedua di Buriram, Thailand, saya dapati kedudukan dengan pelumba tempat pertama tidak terlalu jauh.

“Sebab itu saya yakin jika dapat kepantasan diinginkan, saya mampu bersaing dengan kelompok paling depan.

“Lima pusingan pertama sebelum beraksi di Sepang cukup penting untuk saya memperbaiki segala kelemahan bagi memastikan dapat mempamer aksi terbaik di depan penyokong sendiri,” katanya.

Zulfahmi melangkaui jangkaan pasukan apabila meraih kedudukan ke-13 pada pusingan pembuka tirai di Australia pada 28 Februari lalu sebelum menduduki tempat ke-7 di Thailand, 13 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2016 @ 8:38 AM