Zulfahmi bersama jentera ORELAC Racing Team Kawasaki 600cc.FOTO NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI.
Zulfahmi bersama jentera ORELAC Racing Team Kawasaki 600cc.FOTO NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI.

Kuala Lumpur: Pelumba negara Zulfahmi Khairuddin bertekad mempamer persembahan terbaik di Kejohanan Dunia Motul FIM Superbike 2016 (WSBK) untuk membolehkannya beraksi dalam Moto2 di perlumbaan Motosikal Dunia (MotoGP) musim depan.

Zulfahmi yang mewakili pasukan Orelac Racing dalam perlumbaan WSBK musim ini berkata beliau perlu memastikan prestasinya meningkat dalam setiap perlumbaan bagi mencapai sasaran itu.

"Saya mahu fokus kepada karier di WSBK tahun ini kerana kedudukan tahun depan bergantung kepada pencapaian saya tahun ini.

“Saya harap prestasi musim ini membantu saya untuk ke Moto2 musim depan," katanya pada majlis pelancaran rasmi WSBK 2016 di Malaysia yang akan diadakan pada 13-15 Mei depan.

Zulfahmi, juga bekas pelumba Moto3 negara telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam WSBK dengan meraih tempat ketujuh pada pusingan kedua di Litar Buriram, Thailand baru-baru ini.

Sebelum itu, beliau meraih kedudukan ke-13 pada pusingan awal di Phillip Island, Australia.

"Musim ini masih lagi panjang, saya tidak boleh cepat puas hati dengan prestasi sekarang, dan harus terus berusaha. Sekarang ini, jentera saya adalah yang paling baik.

"Seorang mekanik tempatan turut bersama saya dan pasukan kali ini bagi memudahkan perancangan serta dapat menyediakan jentera yang terbaik pada hari perlumbaan. Kehadiran mekanik tempatan bersama saya memudahkan komunikasi dengan mekanik luar yang lain," kata Zulfahmi.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit (SIC) Datuk Razlan Razali berharap Zulfahmi menggunakan platform WSBK untuk kembali beraksi sebagai pelumba Moto2 musim depan.

Justeru katanya pelumba muda negara itu perlu segera membiasakan diri dengan jentera 600cc pada musim ini.

"Itu impian saya dan berharap ia juga adalah impiannya, beliau kena menggunakan peluang yang ada ini (perlumbaan WSBK) untuk lebih kompetitif dan kembali ke MotoGP," katanya. Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2016 @ 8:04 PM