Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Pelumba Supersport negara Zulfahmi Khairuddin (gambar) dilihat mempunyai potensi baik berada dalam kelompok depan pada pusingan pembuka tirai Kejohanan Superbike Dunia (WSBK) di Phillip Island, Australia hujung minggu ini.

Pada dua sesi ujian rasmi kelmarin dan semalam, pelumba kelahiran Banting, Selangor meraih keputusan memberangsangkan apabila mencatat masa kelima terpantas pada hari pertama serta ke-11 semalam untuk catatan keseluruhan ke-13 terpantas.

Namun pelumba Orelac Racing yang beraksi di musim kedua itu berkata, dia belum cukup berpuas hati dengan keputusan yang diraih pada kedua-dua hari itu.

“Saya serta pasukan tidak dapat pelarasan yang baik. Tapi hari ini (semalam), kami meraih pencapaian lebih baik berbanding semalam (kelmarin).

“Pada 30 minit terakhir sesi ujian, saya cuba untuk lebih laju bagi mendapatkan masa sepusingan lebih pantas.

“Tapi saya terjatuh di selekoh kelapan kerana ada tumpahan minyak,” katanya.

Zulfahmi berharap segala-galanya akan berlangsung dengan sempurna sekali gus memperoleh keputusan yang baik bermula pada sesi latihan bebas, Jumaat ini.

“Saya yakin pasukan ada potensi untuk melakukan jentera saya lebih baik sekali gus memperoleh keputusan yang bagus pada hujung minggu ini,” katanya.

Pada musim lalu, bekas pelumba Moto3 di Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) itu menamatkan saingan keseluruhan kategori Supersport di kedudukan ke-11 dengan mengumpul 56 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2017 @ 7:51 AM