TERTUDUH (kiri) diiringgi pegawai Kastam setelah dijatuhi hukuman penjara setahun. FOTO Amran Hamid
TERTUDUH (kiri) diiringgi pegawai Kastam setelah dijatuhi hukuman penjara setahun. FOTO Amran Hamid
Norul Awatif Romli


Jitra: Penganggur dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah kerana memiliki rokok tidak sah bernilai RM6,571.21, Januari tahun lalu.

Tertuduh, Goh Teik Beng, 42, beralamat di Bidor, Perak, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Khairul Hafizuddin Ramli.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang menetap di Langkawi itu didakwa memiliki 412 karton rokok seludup pelbagai jenama di dalam kereta di Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Bukit Kayu Hitam pada 4.50 petang, 5 Januari 2015.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barang atau penjara tidak melebihi tiga tahun.

Prosiding dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia Perlis, Penguasa Kastam Mohammad Nizar Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ummi Kalthum Zakaria.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2016 @ 12:16 PM