Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Seramai 12 lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam, terhadap pertuduhan mengangkut 440 karton rokok seludup bernilai RM352,000 menggunakan sebuah lori, bulan lalu.

Tertuduh Isa Yaakob, 44, Mohd Fauzi Ahmad, 60, Mazlan Ismail, 46, Mohd Saberi Mat Nor, 51, Mohd Razani Che Abdul Raseli, 34, Mohamad Fakrul Azlan Afifi Mohd Suki, 23, Mohd Khairul Anuar Md Nor, 27, Mohd Hazmin Mat Husin, 34, Mohamad Fakaruddin Abd Aziz, 27, Noorsharzrien Roeffandiee Juhar, 26, Muhammad Ariff Arifin, 29 dan Mohd Nor Mat Saman, 56, mengangguk faham sebelum mohon dibicarakan ketika pertuduhan mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 dibacakan di depan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mengikut kertas pertuduhan, semua mereka didakwa mengangkut barangan larangan itu menggunakan lori jenis Hino.

  SERAMAI 12 tertuduh   dibawa ke  Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas pertuduhan menyeludup  rokok, semalam.
SERAMAI 12 tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas pertuduhan menyeludup rokok, semalam.

Semua rokok berkenaan adalah barang dilarang pengimportannya di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 dengan niat untuk mengelak larangan terhadap barang-barang berkenaan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Pengkalan Tebing Tembah, Paka, Dungun, jam 4 pagi pada 29 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 135 (1)(iii)(aa) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali nilai barangan dan tidak melebihi 20 kali nilai barangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 11:10 AM