Zenica, Bosnia: Gareth Bale akan kembali memimpin Wales untuk menentang Bosnia di Stadium Bilino Polje di Zenica, awal pagi Ahad dalam usaha mereka untuk menamatkan penantian layak ke pusingan akhir kejohanan utama yang sudah menjangkau 57 tahun.

Wales yang mengetuai Kumpulan B dengan 18 mata selepas lapan perlawanan, hanya memerlukan satu lagi mata daripada baki dua perlawanan kelayakan untuk ke pusingan akhir Euro 2016 dan perlawanan terakhir mereka ialah menentang Andorra di Cardiff, pertengahan minggu depan.

Piala Dunia 1958 adalah satu-satunya kejohanan besar yang menyaksikan Wales mengambil bahagian dan Bale yang baru-baru ini dinobat sebagai pemain terbaik tahunan Wales buat kali kelima, jelas menyatakan kesediaannya untuk menamatkan kemarau itu.

“Kami sudah bekerja keras selama beberapa tahun untuk berada di kedudukan ini,” katanya.

“Kami sudah bermain sebagai satu pasukan sejak enam hingga lapan tahun lalu. Pengurus kami pula melakukan tugas yang cukup cemerlang.”

Pengurus Chris Coleman bertungkus lumus memastikan tahap kecergasan Bale berada di kedudukan baik tetapi bintang berusia 26 tahun itu bimbang dia tidak dapat beraksi sempurna selepas hanya dimasukkan pada babak kedua pada perlawanan yang menyaksikan kelabnya, Real Madrid seri 1-1 ketika menentang Atletico, Ahad lalu.

“Saya sudah membuat persediaan sejak beberapa minggu lalu,” kata Bale. “Betis saya semakin baik. Seronok juga dapat bermain selama 20 minit bagi memastikan kaki saya sedia untuk mengharungi baki dua perlawanan.”

Bale memang memerlukan kecergasan 100 peratus kerana Bosnia juga mahukan kemenangan bagi menghidupkan peluang mereka.

Bosnia yang menduduki tangga keempat kumpulan dengan 11 mata, ketinggalan di belakang Wales, Belgium dan Israel tetapi penyerang utama, Edin Dzeko sedang berdepan masalah kecederaan lutut.
- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2015 @ 5:59 AM