SANABRIA (kanan) dicabar pemain Atletico, Koke.
SANABRIA (kanan) dicabar pemain Atletico, Koke.
AFP

Madrid: Sporting Gijon menjaringkan dua gol pada 11 minit terakhir untuk memberi tamparan hebat terhadap misi Atletico Madrid menawan La Liga Sepanyol dengan kemenangan 2-1, awal pagi semalam.

Sepakan percuma menarik Antoine Griezmann pada separuh masa pertama meletakkan Atletico di depan.

Bagaimanapun Atletico merasai kesan akibat kejayaan mereka menyingkirkan PSV Eindhoven selepas masa tambahan dan penalti pada aksi Liga Juara-Juara minggu lalu apabila Antonio Sanabria dan Carlos Castro mengubah keputusan pada babak terakhir.

“Kami tetap teguh dengan matlamat kelab untuk berada di tangga tiga teratas,” kata jurulatih Atletico Diego Simeone.

“Itulah matlamat kami. Kekalahan ini mengatasi sebarang aspirasi bergelar juara.”

Simeone meletakkan skuad remaja dengan purata umur 23 tahun apabila melakukan lima pertukaran daripada pasukan yang diturunkan ketika menentang PSV awal pagi Rabu lalu.

Atletico sering berasakan jadual perlawanan La Liga dan Eropah tidak memihak mereka.

Simeone membayangkan kekecewaannya bermain awal Sabtu sedangkan Barcelona dan Real Madird tidak bermain hingga semalam.

“Saya tidak mencari alasan. Saya gembira kami berada di tahap terbaik, kami bermain pada jam empat pagi dan orang di China boleh menonton kami,” katanya menyindir.

Kemenangan melonjakkan Sporting hampir satu mata ke zon selamat sementara Granada dan Rayo Vallecano melepasi zon penyingkiran dengan keputusan seri 2-2.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2016 @ 8:24 AM