Norul Awatif Romli

Alor Setar: "Setiap pengantin ada cara tersendiri untuk merakamkan hari bahagia mereka.”

Itu kata pengantin lelaki, Mohamad Akmal Che Darus, 28, yang mengabdikan kenangan hari bahagianya bersama isterinya, Nur Fauzieanie Azmi, 30, hari ini.

Mohamad Akmal kayuh beca untuk membawa isterinya dengan diiringi lima belas basikal tua sempena majlis bertandang di Taman Tabung Haji, Kepala Batas.

Katanya, idea berarak menggunakan beca dan basikal tua milik Persatuan Gerek Tua Kedah (GERTUA) itu dicetuskan secara spontan oleh ayahnya Che Darus Abdullah, 67, yang juga ahli GERTUA.

Katanya, acara berarak menaiki beca dan basikal tua itu turut hanya untuk memeriahkan majlis bertandang.

“Bagi saya berarak menaiki beca diiringi basikal tua mempunyai nostalgia tersendiri," katanya ketika ditemui di majlisnya.

Mohamad Akmal adalah Pembantu Tadbir di Wisma Darulaman, manakala isterinya Pembantu Tadbir di Pejabat Tanah Kulim menjalin cinta tiga tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2016 @ 5:33 PM